Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan menggesa pemilihan parti di peringkat cawangan diadakan setiap setahun.

Mohamad Hasan berkata Umno terlampau mahu memenuhi citarasa orang yang memegang jawatan, bukan memenuhi kehendak parti. (Gambar Bernama)
Timbalan presiden Umno itu berkata, antara dasar yang perlu diubah termasuklah mengadakan pemilihan parti di peringkat cawangan setiap setahun, supaya ia sentiasa segar dan memastikan gerak kerja di peringkat bawah sentiasa berjalan, bukannya mengekalkan pemimpin yang mahukan jawatan kerana ingin mendapat gaji.
“Salah satu daripada agenda kami adalah, kita perlu melihat semula perlembagaan kita supaya diubah.
“Kita bukan lagi parti kerajaan, kita menjadi parti mengikut keadaan semasa. Salah satu daripadanya kita berbalik semula seperti dulu di mana setiap tahun ada pemilihan di peringkat cawangan.
“Kalau buat pemilihan 5 tahun sekali, dia dah jadi ketua cawangan dan dapat jadi ketua kampung dia akan ‘relax’ habis.
“Buat bodoh, orang nak jumpa dia tak mahu. Tapi kalau pemilihan setiap tahun, maka dia akan bekerja kuat untuk pastikan dia bekerja dan orang nampak kerja dia. Itu salah satu dan banyak lagi kita akan pinda,” katanya dalam Wacana Sinar Harian bertajuk di Shah Alam.
Mohamad berkata ia termasuk pemilihan di peringkat Pusat perlu dibuat mengikut masa dan tidak ada lagi penangguhan dibuat demi menjaga kepentingan individu tertentu sehingga maruah parti tergadai.
“Kita tak mahu lagi tangguh-tangguh pemilihan Umno. Kalau 3 tahun kita tetapkan 3 tahun, tak payah nak tangguh, tak ada lagi lepas tamat tempoh, tambah lagi 18 bulan tangguh.
“Kita terlampau utamakan orang sehinggakan parti kita dibelakangkan, kita terlampau mahu memenuhi citarasa orang yang memegang jawatan bukan nak memenuhi kehendak parti,” katanya.
Beliau menambah Umno tidak perlu dibuka kepada bukan Melayu tetapi memperkasakan parti dan memperkukuhkan hubungan antara rakan komponen BN supaya ia kembali diterima rakyat pelbagai kaum.