Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, Ideas mungkin tidak mendapat gambaran penuh mengenai cadangan skim pinjaman perumahan buat isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Zuraida Kamaruddin sebelum ini berkata, kerajaan dijangka memperkenalkan satu skim pinjaman perumahan bagi memudahkan pembeli, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki rumah. (Gambar Bernama)
Katanya, mungkin Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) tidak mendapat gambaran penuh mengenai cadangan itu.
“Kelonggaran itu Ideas mungkin tidak dapat sepenuhnya kerana belum dibentangkan lagi.
“Mungkin bila cakap secara rawak, Ideas punyai pandangan dan persepsi daripada perspektif mereka,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya di Ampang, malam ini.
Khamis lalu, felo kanan Ideas, Carmelo Ferlito berkata, cadangan Zuraida bukan jalan terbaik bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu memiliki rumah, sebaliknya akan membawa kesan kepada ekonomi negara.
Beliau mencadangkan kerajaan meningkatkan kecekapan kewangan dan menggalakkan rakyat menabung serta menyewa rumah berbanding membelinya.
Pada 3 Julai lalu, Zuraida berkata, kerajaan dijangka memperkenalkan satu skim pinjaman perumahan bagi memudahkan pembeli, khususnya golongan isi rumah berpendapatan 40% pertengahan (M40) dan 40% terendah (B40) untuk memiliki rumah.
Katanya, satu mesyuarat diadakan antara kementeriannya dengan beberapa agensi, termasuk Bank Negara (BNM), institusi kewangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kementerian Kewangan berhubung rumah siap yang tidak dijual.
Beliau berkata, antara faktor rumah siap tidak dijual termasuk lokasi, kos tinggi dan faktor pinjaman, susulan itu BNM dalam perancangan awal merangka satu garis panduan memperkenalkan pinjaman longgar syarat untuk memudahkan pembeli.
Sementara itu, Zuraida yang juga ketua Wanita PKR berkata, beliau akan mempertimbangkan bertanding jawatan lain dalam pemilihan parti bulan depan, jika ada permintaan daripada ahli parti.
“Saya tidak akan bertanding sebagai ketua Wanita PKR. Saya beri laluan kepada orang lain ambil alih.”