
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyarankan Felda yang kini berada di bawah Kerajaan Pakatan Harapan agar dapat mengkaji dan menukar format skim sara hidup dan pendahuluan hasil peneroka diberi tanpa faedah.
Ketua Penerangan Anak Shamsul Bakri berkata, jika dikenakan caj mestilah ia bersifat ‘surcharge’ (sekali caj sahaja) bukannya menggunakan kaedah riba yang berterusan.
Ataupun, katanya hutang yang dikenakan bersekali (servis charge) dengan kadar yang rendah seperti 0.07% sebagaimana negara Jepun kenakan keatas pinjaman kerajaan Malaysia melalui rundingan Tun Mahathir.
“Barulah nampak jalan keluar penyelesaian hutang-hutang2 peneroka. Ayuh tuan-tuan peneroka dan generasi ke-2 Felda seluruh Malaysia sama-sama kita suarakan hasrat ini,”katanya.
Wang sara hidup dan pendahuluan hasil adalah satu kaedah pinjaman kepada peneroka yang terlibat dengan proses tanam semula sawit dan getah.
Ianya merupakan satu kaedah bantuan dana secara terus kepada peneroka Felda yang bersetuju menyerahkan proses tanam semula kepada Felda keseluruhannya.
Untuk makluman, ia hanya diberikan kepada peneroka yang memerlukannya tatkala ladang mereka ditebang untuk proses tanam semula yang pastinya tiada pengeluaran hasil, namun ianya tidak wajib untuk semua peneroka terlibat menerimanya kerana tertakluk kepada kemampuan peneroka itu sendiri.
Perlu diketahui dan difahami skim ini adalah satu bentuk pinjaman mudah dengan kadar bunga 6.25 peratus kepada peneroka untuk mendapatkan dana bagi menampung keperluan mereka dan keluarga seharian.
Kadar bunga 6.25 peratus yang dikenakan ini terlalu tinggi sebnarnya jika peneroka ketahui nilai keseluruhan hutang yang perlu dijelaskan kemudian.
Disebabkan itu jugalah mana-mana peneroka yang mengambilnya akan terasa bahawa hutang mereka tidak pernah habis walaupun telah mencecah 50 tahun lebih berada di dalam Felda.