Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Cadbury Malaysia lega ‘dibebaskan’ daripada anasir babi

$
0
0
 OLEH JAMILAH KAMARUDIN




Syarikat pengeluar coklat terkenal, Cadbury Malaysia lega dengan pengesahan status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap dua produknya (gambar) yang sebelum ini dikatakan mengandungi DNA babi. 



Pengarah Urusan Cadbury Malaysia Sunil Sethi berkata, pihaknya gembira dengan pengumuman itu kerana yakin semua produk keluaran Cadbury yang dikilangkan dan dijual di pasaran Malaysia adalah halal.

 "Walaupun insiden ini dianggap malang, namun kami bersyukur dengan tindakan pihak berkuasa membersihkan nama kami dengan memberi jaminan akan membuat pengesahan terperinci terhadap hasil kajian mereka pada masa akan datang sebelum mengumumkannya kepada orang awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Sunil berkata, pihaknya sedia melupakan insiden terbabit dan mahu kembali fokus kepada pengeluaran produk coklat seperti biasa sekaligus memulihkan semula keyakinan penguna terhadap mereka selepas 40 tahun beroperasi di Malaysia.

Katanya, semua produk Cadbury keluaran tempatan mematuhi garis panduan Jakim, iaitu satu-satunya agensi kerajaan yang layak mengesahkan taraf halal dan mengeluarkan sijil kebenaran bagi memastikan semua produk barangan dan makanan dibenarkan mematuhi undang-undang Islam.

Tambahnya, isu halal tanpa berbelah-bahagi sentiasa menjadi keutamaan mereka memandangkan kumpulan pengguna terbesar di Malaysia adalah orang Islam.

"Kami mempunyai Jawatankuasa Dalaman Halal (IHC) sejak mendapat sijil pada 2004 bagi menunjukkan komitmen kami terhadap isu halal.

"Pekerja kami dilatih sepenuhnya tentang syarat pensijilan. Cadbury juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan memantau kualiti pemprosesan yang digariskan dengan lebih teliti," katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia pada 23 Mei lalu mendapati kajian sampel yang diambil daripada dua produk berkacang Cadbury, Dairy Milk Hazelnut (pendaftaran nombor 200813M01H I2 yang luput tarikh 13 November 2014) serta Cadbury Dairy Milk Roast Almond 175g (pendaftaran nombor 221013N01R I1 bertarikh luput pada 15 Januari 2015, adalah positif DNA porcine. Cadbury kemudiannya menarik balik dua produk makanan yang dikesan mengandungi babi daripada pasaran serta merta.

Bagaimanapun Jakim pada semalam mengesahkan hasil ujian sampel yang diambil daripada produk keluarannya di Shah Alam mendapati dua produk berkenaan bebas daripada sebarang anasir haram.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, selain dua produk terbabit, 9 sampel produk lain turut dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa. Namun menegaskan pemeriksaan menyeluruh akan dibuat semula ke atas seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat Cadbury.

 "Laporan pemeriksaan menyeluruh tersebut akan dibentangkan semula dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia sebelum Sijil Pengesahan Halal Malaysia mengembalikan dua produk berkenaan kepada pasaran," katanya.

 Tegasnya, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang cuba memanipulasi soal halal haram di negara ini.

 "Kita akan panggil semua pihak untuk menyelaraskan semua perkara. Saya nak tegaskan, hanya Jakim yang boleh mengumumkan tentang halal bukan pihak lain," katanya.

Ekoran insiden itu, ia mencetuskan kemarahan pelanggan Cadbury termasuk berdepan tindakan saman sebanyak RM100 juta yang akan difailkan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan. Terdapat juga sesetengah pihak menyuarakan Islam yang makan coklat itu sebelum ini perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722