Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup (gambar) berkata beliau menghubungi rakan sejawatnya Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang menjaga urusan agama Islam, yang berjanji akan membantu "menyejukkan suasana".
"Dia akan melihat hal ini dan membantu untuk menyejukkan suasana," kata Kurup kepada The Malaysian Insider.
Kurup yang beragama Kristian menasihatkan semua pihak agar jangan berbuat sesuatu yang boleh memburukkan lagi hubungan antara agama dan kaum di negara ini.
"Jika ada mana-mana pihak tidak bersetuju dengan sesuatu, bawa kepada pihak berkuasa dan biarlah pihak berkuasa yang menyelesaikannya secara yang wajar dan aman," katanya.
Petang tadi, pasukan Jais menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim dan merampas 300 bible versi Bahasa Malaysia dan Iban, serta menahan pengerusinya, Lee Min Choon dan setiausaha agung, Sinclair Wong. Kedua mereka dibebaskan dua jam kemudian.
Dalam masa yang sama, pelbagai pertubuhan Islam mendesak agar tindakan diambil ke atas pengarang majalah Katolik The Herald, Rev Father Lawrence Andrew, kerana kenyataannya mahu terus menggunakan nama Allah dalam terbitannya. Lawrence telah pun dipanggil oleh pihak polis.
Kenyataan Lawrence itu ekoran kenyataan Pengarah Jais, Ahmad Zaharin Mohd Saad, yang berkata, jabatan itu sedang menyenaraikan nama gereja yang akan diberitahu supaya mengelak menggunakan nama Allah kerana bertentangan dengan undang-undang di Selangor.
Enakmen 1988 iaitu Agama bukan Islam di Selangor (Kawalan Penyebaran Agama kepada Orang Muslim) yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1988, melarang bukan Muslim di Selangor dari menggunakan 35 perkataan Arab dan ungkapan dalam agama mereka, termasuk “Allah”, “Nabi”, “Injil” dan “Insya’Allah”. -