Pengarang kanan akhbar Utusan Malaysia, Zulkiflee Bakar hari ini mendakwa krisis yang berlaku di Terengganu akibat daripada peralihan jawatan menteri besar di negeri itu berpunca daripada campur tangan “Tok Dalang”.
Kata Zulkiflee “Tok Dalang” tersebut yang begitu rancak merancang strategi memastikan pengunduran Datuk Seri Ahmad Said bukan sahaja menyebabkan tercetusnya krisis politik Umno di Terengganu malah mendedahkan parti itu dengan risiko kehilangan kuasa di Terengganu.
"Penulis difahamkan sepatutnya perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri Terengganu daripada Datuk Ahmad Said kepada Datuk Ahmad Razif Rahman berjalan lancar.
"Tiada sebarang kontroversi apatah lagi kemelut memandangkan Ahmad Said memahami perjanjian beliau lakukan dengan pucuk pimpinan parti," katanya seperti yang dipetik pada akhbar itu.
Tidak diketahui siapakah “Tok Dalang” yang dimaksudkan penulis Utusan itu.
Namun, seorang pegawai kanan Ahmad Said, Datuk Wan Ahamad Wan Muda yang mengetuai Terengganu Incorporated memohon bersara pilihan dan diluluskan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu dua hari selepas hari kejadian iaitu 14 Mei 2014.
Wan Ahamad dikatakan memohon bersara pilihan mulai 12 Ogos 2014.
Pada 12 Mei, Ahmad Said ditamatkan khidmat sebagai menteri besar Terengganu apabila menteri besar baru Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dilantik.
Pada jam 1 pagi, hari yang sama Ahmad Said dan Adun Ajil menghantar surat keluar daripada Umno dan menjadi Adun Bebas. Esoknya seorang lagi Adun mengikut jejak langkah beliau menjadikan kerajaan BN Terengganu kerajaan minoriti iaitu mempunyai 14 Adun sahaja berbanding Pakatan Rakyat 15 dan Bebas 3.
Bagaimanapun ketiga-tiga mereka menyertai Umno semula tidak sampai 48 jam selepas itu.
Menurut pengarang kanan Utusan itu, kemelut politik Umno di Terengganu akhirnya kembali reda dengan perbincangan yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak antara Ahmad Said dan Ahmad Razif.
"Hubungan itu terus diperkukuhkan dengan kehadiran perdana menteri dan Ahmad Razif dalam perkahwinan anak Ahmad Said di Kemaman," katanya.
Tambahnya, dengan bukti kehadiran Najib dan menteri besar baru itu dalam majlis perkahwinan berkenaan merupakan isyarat kepada pihak yang menjadi batu api dalam politik Umno Terengganu supaya menghentikan kerja bodoh mereka.
Namun katanya berbalik kepada situasi yang berlaku, Umno perlu menerima hakikat tidak berada dalam kedudukan selesa.
"Kuasa politik dan memerintah negeri tersebut diperolehi hanya dengan kelebihan dua kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagaikan telur di hujung tanduk.
"Dalam tempoh beberapa jam sahaja ia boleh berderai jika pemimpin Umno tidak berhati-hati," katanya.
Katanya, lagi menteri besar Terengganu yang baru sama sekali tidak boleh terhasut atau termakan dengan “Tok Dalang” ataupun penghasut sama ada dari dalam atau luar parti.
Selain itu, pengarang kanan itu juga turut menyelar parti pembangkang, PAS Terengganu apabila dilihat begitu bijak mengambil kesempatan dalam kemelut politik yang berlaku.
"Pembangkang, PAS Terengganu tidaklah sekuat mana tetapi mereka bijak mengambil kesempatan untuk meraih sokongan politik.
"Bukan kerana mereka hebat memerintah atau berupaya memimpin negeri dengan lebih baik daripada Umno tetapi hanya mengambil keuntungan dengan kejahilan sesetengah pemimpin parti Terengganu berpolitik," katanya.
Katanya akibat kejahilan itu, ia membuka ruang kepada individu atau kelompok tertentu bagi mengambil kesempatan mengkucar-kacirkan keadaan lemah Umno.