Dua individu yang membuat laporan polis berhubung seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM) minggu lalu dipanggil polis bagi memberikan keterangan hari ini.
Pensyarah kolej swasta, Perzeus James yang diambil keterangan kira-kira sejam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berkata, beliau terpanggil untuk membuat laporan polis selepas banyak komen negatif yang disiarkan di media sosial.
"Acara ini diadakan di UiTM. Saya tidak tahu di mana mereka mendapat kebenaran menganjurkan acara ini. Setahu saya, jika mereka mahu mengadakan acara seperti itu perlu mendapat kebenaran kementerian.
"Kita tidak boleh tunggu lagi. Tindakan segera perlu diambil. Jika tidak perkara yang lebih buruk akan berlaku," katanya kepada media setelah memberi keterangan kepada polis.
James bersama pengarang, Uthaya Sankar Narayanan membuat laporan polis pada 8 Mei lalu kerana marah tiada tindakan yang diambil terhadap penganjur berkenaan walaupun ia mengundang kemarahan di media sosial.
Mereka berkata, penganjur dan penceramah dalam seminar itu perlu disiasat kerana menghina dan mencerca agama Kristian di universiti awam.
James berkata, banyak kepincangan berlaku semasa forum itu diadakan termasuk mempersoalkan Kristianisasi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sepatutnya mengharmonikan hubungan kaum di Malaysia.
Katanya, UiTM selaku universiti awam seharusnya tampil dengan kajian ilmiah dan bukan sekadar mengenengahkan pendapat daripada satu pihak sahaja.
“Bagaimana mereka kata ancaman Kristianisasi sedangkan tiada penganut Kristian di dalam dewan itu? Bagaimana Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia yang sepatutnya bertanggungjawab kepada kesejahteraan semua tetapi bercakap tentang ancaman Kristianisasi?
“Ini tidak selari dengan jawatan dan topik yang dibawakannya di dalam forum itu.
“Perkara yang didedahkan di universiti seharusnya berlandaskan bukti kukuh dan kajian mendalam, tetapi dalam seminar itu hanya membabitkan satu pihak, sedangkan sepatutnya ia menampilkan wakil Kristian dan Islam,” katanya.
James berkata, UiTM tidak seharusnya menganjurkan seminar sedemikian tetapi menganjurkan persefahaman antara agama dan menjalin hubungan baik di kalangan penganut semua agama di Malaysia.
Katanya, seminar itu memberi gambaran kepada warga asing Malaysia bukan negara Asia sebenar seperti mana slogan yang selalu dilaungkan kerajaan.
“Kami sebelum ini menganjurkan program keharmonian antara agama tetapi acara di UiTM merosakkan agenda kami. Sepatutnya acara yang dianjurkan adalah bagaimana memahami agama lain dan menjalin hubungan baik di antara penganut bagi menganjurkan keamanan.
“Penduduk luar negara melihat Malaysia yang kita dakwa Asia sebenar tetapi bagaimana kita berikan contoh kepada mereka,” katanya.
Polis menyiasat seminar di UiTM mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan kerana membuat pengucapan yang sengaja menjejaskan anutan agama pihak tertentu, mencetuskan rasa tidak harmoni, perpecahan, kebencian dan prejudis.