PRK Teluk IntanPRK Teluk Intan
 
KETIKA beberapa pihak termasuk NGO mahu BN meletakkan calon Melayu pada PRK Teluk Intan, DAP sudah pun bersedia  mempertaruhkan wakil mereka pada PRK kali ini dalam kalangan orang Melayu.

Paling hangat, nama Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud menjadi sebutan bakal calon pilihan DAP, biarpun ada beberapa nama lagi sudah disenarai pendek.

Mungkin mahu membuktikan DAP sebuah parti berbilang kaum, mereka cuba meletakkan anak muda itu sebagai calon di kawasan yang majoriti pengundinya bukan Melayu.

Sejarah pernah membuktikan DAP pernah menang menerusi  calon Melayu iaitu Fadzlan Yahya di Dun Pasir Bedamar (dalam kawasan Parlimen Teluk Intan) pada 1986 malah  beliau menang untuk tiga penggal berturut-turut.

Peletakan calon Melayu mewakili DAP pada PRK kali ini mungkin dilihat tepat dalam usaha parti itu meraih dan menambah lagi sokongan orang Melayu ketika kontroversi isu hudud hangat diperkatakan.

Justeru, percaturan DAP Pusat yang dijangka meletakkan Dyana Sofya sebagai calon akan sedikit mengecewakan pimpinan DAP negeri yang sudah pun menyediakan calon mereka sendiri.

Antara nama disebut-sebut disenaraikan sebagai calon sebelum ini adalah bekas Adun Jalong, Leong Mee Meng, bekas Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan, Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin dan Ahli DAP, Hew Kuan Yan.

Siapa pun calon yang akan diumumkan DAP nanti, mereka sudah mendapat sebahagian undi khususnya daripada penyokong setia dalam kawasan Dun Pasir Bedamar yang sekian lama memenangi kerusi itu sejak 80-an.

Bagi BN pula, biarpun ada desakan dibuat agar kerusi berkenaan diserahkan kepada Umno untuk meletakkan calon Melayu, ia tidak akan mengubah status quo jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada komponennya.

Tidak lain dan tidak bukan, Pengerusi Gerakan, Datuk Mah Siew Keong akan menjadi pilihan utama sebagai calon parti itu biarpun prestasi Gerakan tidak begitu baik pada PRU13 lalu.

Siew Keong sudah dilihat turun padang bertemu masyarakat sejak akhir-akhir ini seperti mana dilakukannya ketika menjelang PRU13 lalu.

Gesaan juga diterima supaya Gerakan kali ini menampilkan calon Melayu memandangkan parti itu berbilang kaum. Namun, persoalan besar, adakah Gerakan mempunyai tokoh pemimpin dari kalangan orang Melayu sedangkan pemimpin muda sedia ada belum cukup hebat
untuk meraih sokongan.

Keperibadian Siew Keong memang sangat dikenali masyarakat di Teluk Intan, malah orang-orang lama khususnya dalam kalangan orang Melayu juga begitu menyukainya.

Bagaimanapun, sokongan bukan Melayu dilihat sukar untuk diperoleh memandangkan ahli-ahli komponen sendiri tidak mengundi BN.

Apa tidaknya, pada PRU13 lalu, ada peti undi di kawasan yang majoriti terdiri daripada kaum bukan Melayu langsung tidak mengundi calon BN sedangkan ada cawangan komponen parti di situ.

Sepatutnya, jika mereka sokong BN, sekurang-kurangnya ada satu undi mungkin dari ketua cawangan parti komponen terbabit, malangnya ia tidak berlaku.

Itulah dilema terpaksa dihadapi BN pada PRK Parlimen Teluk Intan kali ini yang begitu terdesak untuk memperoleh sokongan Melayu.

Beri kepada Umno jika Gerakan tolak

Di sebalik kisah itu, ada desakan agar calon Melayu daripada Umno dinamakan sebagai calon PRK Teluk Intan.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Hilir Perak, Azizul Azhar Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan berkata, mereka telah menghantar surat cadangan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, 8 Mei lalu yang turut menamakan calon yang sesuai mewakili BN.

Katanya, nama yang dicadangkan adalah bekas Pengerusi MBD Hilir Perak yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Nadziruddin Mohamed Bandi dan berharap cadangan tersebut dipertimbangkan kerana ia adalah suara akar umbi khususnya golongan belia yang menjadi penentu utama kepada kemenangan BN di Teluk Intan nanti.

Merujuk fakta pilihan raya, pada  PRU 2008, majoriti undi hanya 1,470 tetapi terdapat peningkatan mendadak pada PRU13 dengan majoriti undi sebanyak 7,313.

Pada PRU12, kawasan Dun Changkat Jong dimenangi Pas melalui wakilnya, Mohd Anuar Sudin dan kawasan Dun Pasir Bedamar dimenangi mendiang Seah Leong Peng.

Bagaimanapun, BN berjaya merampas kembali kawasan Dun Changkat Jong selepas Datuk Mohd Azhar Jamaluddin menang pada PRU13 selain Dun Pasir Bedamar kekal dipegang DAP.

Sungguhpun BN berjaya mendapatkan semula kerusi Dun Changkat Jong daripada Pas, majoriti undi untuk kawasan Parlimen Teluk Intan tidak langsung menunjukkan penurunan.

Ada kemungkinan Pas tanding tiket bebas

Biarpun peluang untuk BN menang di kerusi Parlimen Teluk Intan sukar, mereka harus meletakkan calon kerana situasi di kawasan itu dengan kawasan Parlimen Bukit Gelugor adalah berbeza.

Mungkin ada baiknya untuk BN memikirkan meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu itu bagi menarik sokongan pengundi Melayu kerana sukar untuk mendapatkan undi bukan Melayu.

Tidak dapat tidak, orang Melayu pastinya berada di dalam dilema untuk memilih pemimpin mereka di situ jika kedua-dua parti meletakkan calon Melayu kerana parti komponen bukan Melayu yang bersekutu dengan BN secara terang-terangan menolak hudud begitu juga DAP yang jelas menentang pelaksanaannya.

Selain tumpuan pada parti utama, PRK Parlimen Teluk Intan kali ini dijangka membawa beberapa kejutan khususnya calon bebas.

Parti Berjasa juga sudah mengumumkan akan bertanding pada PRK itu, begitu juga bekas Naib Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP Kedah, Syed Araniri Syed Ahmad Al-Idrus yang menyatakan kesediaan bertanding atas tiket bebas.

Malah diramalkan ada ahli Pas di Teluk Intan yang akan turut mengumumkan bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Teluk Intan, mengikut jejak langkah Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Satar di Bukit Gelugor.

19 Mei ini akan menjadi penamat segala spekulasi, sekali gus bakal memberi gambaran awal terhadap parti mana dijangka menang.