Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

BN akan perhebat perjelas GST di Teluk Intan

$
0
0
MALAYSIAKINI


 


BN akan memperhebatkan kempen mengenai penjelasan isu pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada masyarakat Teluk Intan kerana pembangkang dijangka mempergunakan isu berkenaan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Teluk Intan.
  
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata BN akan mengadakan lebih banyak ceramah berkelompok untuk memberi penjelasan secara terperinci supaya masyarakat lebih memaham isu berkenaan.
  
"Tentunya pembangkang akan bangkitkan isu itu (GST) ketika berkempen. GST perkara utama akan kita perjelaskan selain isu semasa. Kita akan kumpul penceramah dan beri mereka taklimat GST sebelum mereka menjelaskannya kepada masyarakat," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama Persatuan Bekas Tentera Teluk Intan di Bangunan Bekas Tentera di Teluk Intan hari ini.
  
Beliau yang juga timbalan menteri kewangan berkata pembangkang sering membangkitkan isu, seolah-olah GST merupakan cukai baharu yang membebankan rakyat, sedangkan ia adalah cukai yang menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang dihapuskan.
  
Ahmad berkata, ketika membangkitkan isu itu, pembangkang tidak memperjelaskan perkara sebenar bahawa masyarakat selama ini telah membayar cukai jualan dan perkhidmatan.

"Kita dah ada cukai jualan 10 peratus untuk pakaian, perabot rumah, perkakas rumah. Semua itu dah ada 10 peratus (cukai) tetapi dikutip oleh Kastam di kilang-kilang. Namun selepas ini 10 peratus akan tinggal enam peratus sahaja.
  
"Ada juga perkhidmatan sekarang ni enam peratus (cukai) seperti perkhidmatan astro, hotel, makanan, restoran-restoran besar. Kalau dalam ceramah (pembangkang) perkara ini tak wujud langsung. Mereka tidak akan cerita perkara ini kepada rakyat, mereka anggap cukai ini tiba-tiba, sebelum ini tidak ada, jadi itu tidak benar," katanya.
  
Sementara itu, mengenai PRK Teluk Intan beliau berkata BN akan berusaha mengembalikan kemenangan kawasan itu yang sebelum ini pernah dimenangi BN.
  
"Sebelum ini BN menang di Teluk Intan sejak tahun 2004 dan sebelum ini, tapi terhenti pada 2008 dan 2013. Kita akan tebus kembali kerugian pelbagai perkara yang dialami ketika pembangkang memerintah kawasan itu kerana selama ini yang membangunkan Teluk Intan hanya BN," katanya.
  
Ahmad Maslan berkata pada 2013 masyarakat Cina menyokong hasrat pembangkang untuk mengubah kerajaan BN, namun masyarakat harus sedar bahawa cita-cita pembangkang itu tidak tercapai.
  
"Parlimen Teluk Intan mempunyai dua Dun dengan BN memenangi satu daripadanya. Menang kalah adalah dari segi kekuatan. Harapan kita agar masyarakat Cina kembali rasional untuk menyokong BN," katanya.
  
Katanya Parlimen Teluk Intan mempunyai bilangan masyarakat Cina lebih ramai iaitu 43 peratus diikuti, Melayu (37 peratus), India (19 peratus) dan lain-lain (satu peratus).
  
Mengenai calon BN yang akan bertanding, beliau berkata tentunya BN akan meletakkan calon yang terbaik di Teluk Intan dan nama calon layak bertanding akan diumumkan esok.
  
"Calon yang terbaik pastinya boleh membantu meneruskan pembangunan kepada semua masyarakat," katanya.
  
PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lepas.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Mei sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal 27 Mei dan hari pengundian pada 31 Mei.
  
Dalam pilihan raya umum ke-13, Seah, 48, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.  
- Bernama

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722