KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (Bersih) mengesyaki berlaku rundingan politik melibatkan manfaat kewangan dalam menyelesaikan kemelut di Terengganu.
Justeru Bersih menggesa pihak yang mempunyai maklumat melibatkan rasuah dalam penyelesaian tersebut untuk tampil mendedahkan perkara tersebut.
“Bersih menggesa sesiapa yang mengetahui mengenai usaha membeli atau menjual hubungan politik dengan keuntungan kewangan – terutamanya menggunakan dana awam atau kemudahan lain – untuk mendedahkan maklumat.
“Rasuah seperti ini pastinya memusnahkan negara,” kenyataan tersebut dipetik.
Hari ini, tiga Adun BN Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad Said (Kijal) Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi) yang mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas menarik semula peletakan jawatan mereka.
Dalam kenyataanya hari ini,, Bersih turut memetik pandangan bekas Ketua Pengarang New Straits Times, Datuk Kadir Jasin yang menjangkakan bahawa krisis di Terengganu boleh diselesaikan dengan ‘harga yang betul’.
Tambah Bersih, krisis di Terengganu bukan insiden pertama dan tekanan perlu dibuat agar tindakan yang sepatutnya diambil bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Dalam pada itu, Bersih bertegas bahawa Istana tidak wajar hanya memanggil wakil rakyat bagi menentukan bahawa sesuatu kerajaan itu masih mendapat sokongan.
“Ini akan mengheret institusi Istana ke dalam politik kepartian dan menjejaskan imej tidak berpihak seperti yang berlaku dalam krisis Perlembagaan di Perak pada 2009.
“Menteri Besar wajar mendapat persetujuan Istana untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dengan tujuan mendapat mandat kukuh bagi mentadbir negeri.
“Adalah munasabah ketika pemerintah diragui, maka ia harus kembali ke peti undi bagi mendapatkan mandatnya untuk mentadbir,” kenyataan tersebut dipetik.