Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Muhyiddin (gambar) dijangka tiba petang ini di Terengganu dan akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad bagi mencari jalan penyelesaian.
"Bukan Perdana Menteri, tapi TPM (Timbalan Perdana Menteri) yang ke Terengganu, dijangka tiba petang ini.
"Beliau (Muhyiddin) akan berjumpa dengan Ahmad nanti," kata sumber Umno Terengganu kepada The Malaysian Insider menafikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan hadir.
Sumber juga memberitahu Ahmad sepatutnya mengadakan sidang media petang ini bagi mengumumkan peletakan jawatan, akan tetapi terpaksa ditangguhkan dengan kedatangan Muhyiddin.
"Hari ini tiada sidang media Ahmad tapi jumpa Muhyiddin dahulu," kata sumber itu dengan syarat namanya tidak didedahkan.
Sumber juga memberitahu langkah PAS untuk memanggil satu sidang khas bagi mendapatkan undi tidak percaya ke atas BN tidak boleh dilaksanakan selagi Ahmad tidak membuat pengumuman rasmi keluar parti.
"Nak buat sidang khas kena sahkan dahulu Ahmad keluar parti. Setakat ini Ahmad belum tampil belum buat pengumuman rasmi," katanya.
Sumber juga memberitahu khabar angin mengatakan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan keluar parti tidak benar, sebaliknya ia masih dalam keadaaan "status quo" dengan tiga sahaja wakil rakyat Umno menjadi Adun Bebas.
"Status quo tiga sahaja, tiga lagi sudah buat kenyataan tidak akan keluar," katanya.
Kemelut politik dalaman Umno di Terengganu tercetus selepas peletakan jawatan Ahmad sebagai menteri besar dan kemudiannya keluar parti, langkah tersebut disusuli dua lagi Adun Umno.
Tindakan tersebut menyebabkan komposisi DUN yang dikuasai oleh BN di Terengganu berubah dan menjadikan jumlah kerusi sama dengan Pakatan Rakyat (PR).
Bagaimanapun, Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata BN masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil rakyatnya keluar parti.
Beliau berkata, walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada 17 kepada 14 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang memerintah dengan kedudukan kerusi 15:15:3.
Secara konvensyennya, kebanyakan ahli politik menandatangani surat peletakan jawatan undur tarikh sebelum memegang jawatan di Malaysia.
Ahmad yang mengawal sesetengah pecahan dalam Umno Terengganu mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Mac 2008, walaupun Umno memilih Datuk Seri Idris Jusoh.
Idris kini merupakan menteri pendidikan II dalam Kabinet Najib.
Tahun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut mereka tidak boleh campur tangan di Terengganu jika berlaku DUN tergantung disebabkan BN menang tipis.
Menurut SPR, terpulang kepada parti politik untuk menyelesaikan masalah itu