Muhyiddin Yassin 
Tan Sri Muhyiddin Yassin


KUALA LUMPUR - Kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk memperluaskan Sekolah Wawasan.

Menurut Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk itu dari aspek perpaduan nasional, kerajaan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan meneruskan usaha memperkasa peranan sekolah kebangsaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum.

"Pihak kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan telah meneliti dengan terperinci setiap cadangan yang dikemukakan dalam Mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 2013 yang lalu.

"Oleh itu, menyentuh mengenai cadangan yang dikemukakan oleh MPPK tahun lalu, iaitu mengenai Sekolah Wawasan. Kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk memperluaskan Sekolah Wawasan.

"Oleh itu kerajaan akan memperkasakan sekolah kebangsaan untuk memupuk semangat perpaduan, sementara bagi memenuhi keperluan murid pelbagai kaum untuk mempelajari bahasa ibunda,KPM akan menambah bilangan guru bahasa Mandarin dan Tamil yang berkelayakan di sekolah-sekolah kebangsaan," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan di PWTC hari ini.

Sekolah Wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama.

Di bawah konsep ini, dua atau tiga sekolah rendah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama.

Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung.

Buat masa ini terdapat lima kompleks Sekolah Wawasan yang telah berjaya operasinya iaitu Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak; Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah; Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang; Kompleks Sekolah Wawasan USJ,15, Subang Jaya, Selangor dan Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung Perak.