DAMANSARA – Polis masih menyiasat motif utama penculikan melibatkan seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, awal Mei lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, pihaknya masih lagi menyiasat kes ini dan sedang membuat penilaian ke atas motif kejadian berkenaan.
“Berikanlah peluang kepada polis untuk membuat siasatan yang rapi mengenai perkara tersebut.
“Kita juga percaya bahawa mangsa dilarikan ke kawasan Selatan Filipina. Setakat ini kita masih belum mengenal pasti suspek dan kumpulan yang terlibat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kelab Golf Tropicana sempena Golf Peringatan Hari Polis Ke-207.
Pada 6 Mei lalu, seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar diculik kira-kira jam 2.45 pagi, 6 Mei lalu oleh lima lelaki bersenjata dipercayai jenis M16 yang menaiki sebuah bot berkuasa kuda 200.
Sementara itu, dalam kes berlainan, polis masih menjalankan siasatan susulan tangkapan seorang lelaki Afrika Timur berusia 34 tahun, yang merupakan anggota kumpulan pengganas Al-Shabab.
Mohd Bakri berkata, berkemungkinan akan ada lagi tangkapan akan dibuat berikutan kes sebegini melibatkan orang-orang tertentu.
Sebelum itu, dalam satu kenyataan media, Mohd Bakri memberitahu lelaki terbabit tersenarai antara individu yang dikehendaki polis antarabangsa (Interpol) kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti kumpulan Al-Shabab di Afrika Timur.