BESTARI JAYA - Penyandang kerusi Ketua Cabang Kuala Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim optimis dengan sokongan ahli PKR di Selangor terhadap dirinya untuk mengekalkan jawatan memandangkan rakyat yakin dengan kreadibilitinya sebagai Menteri Besar Selangor.
"Pengundi di Selangor dianggarkan 170,000 orang dan lebih ramai berbanding negeri lain. Jadi saya percaya sokongan kuat sekiranya semua turun mengundi pada hari ini.
"Saya juga harap pemilihan berjalan dengan tertib dan teratur tanpa perlu mengata pihak lawan..beri peluang kepada anggota menjalankan tugas demi pembangunan parti," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati ahli PKR Kuala Selangor sudah menunggu seawal jam 8.00 pagi bagi membuang undi untuk pemilihan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor dan barisan jawatankuasa tertinggi yang baru di Dewan Orang Ramai Bestari Jaya, dekat sini.
Abdul Khalid Ibrahim tiba kira-kira jam 9.50 pagi dan terus masuk ke dewan untuk meninjau sesi taklimat calon-calon yang bertanding.
Mengulas lanjut mengenai tuduhan yang dilemparkan pihak lawan yang dikaitkan dengan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bukit Melawati, Adun Pelabuhan Klang itu menjelaskan, semua itu politik semata-mata dan dilihat lebih banyak bercakap daripada buat kerja.
"Parti memberi peluang kepada mana-mana anggota untuk bertanding mana-mana jawatan..sesiapa pun boleh buat kenyataan," katanya.