KLANG - [VIDEO] Ketidaktelusan dalam pemberian kertas dan daftar pengundi menyebabkan pemilihan PKR di cabang Klang hari ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.
Calon Ketua Cabang Klang, Zudin Asramad mendakwa, daftar pemilih kawasan itu telah disabotaj apabila sesetengah nama pengundi tidak tersenarai dalam sistem mereka.
Dakwanya lebih mengejutkan apabila anggota sama menyemak pendaftaran mereka di pondok panas milik penyandang ketua cabang, nama mereka wujud dalam sistem.
"Bila anggota semak nama mereka di pondok penyandang, Ye Boon Lye, nama mereka tertera sedang tiga pondok panas calon lain pula tiada.
"Dalam daftar pemilih, anggota yang berdaftar hanya setakat 2014 manakala pendaftaran ahli sejak 2008 tidak dimasukkan, dan ia satu cubaan monopoli," katanya kepada pemberita selepas pusat mengundi Cabang Klang di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Jalan Raja Lumu ditutup setelah tiga pencabar lain sepakat mendesak pemilihan itu dibatalkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata kekecohan dan penipuan itu didakwa hampir sama seperti mana yang berlaku pada pemilihan lepas.
Ketika ini, anggota keselamatan Rela kelihatan memenuhi dan mengawal pintu masuk pusat mengundi itu sementara menunggu Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bermesyuarat tentang pembatalan cabang itu.
Manakala pengundi lain pula sebahagian besarnya telah beredar meninggalkan pusat mengundi itu setelah dimaklumkan proses pemilihan itu dibatalkan.
Bagaimanapun keadaan agak terkawal tanpa insiden buruk seperti mana yang berlaku pada 2010 lalu.
Selain Zudin dan Boon Lye, dua calon lain yang bertanding ketua cabang Klang ialah P.Krishnasamy dan Arahyah Ibrahim.