Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Projek tambak laut mangsakan nelayan pantai Johor

$
0
0


Oleh MAHDZIR IBRAHIM


NELAYAN tradisional bermakna nelayan yang menggunakan peralatan tradisional seperti pancing, sangkar atau jaring untuk menangkap ikan dan menggunakan bot kecil berenjin sangkut. Nelayan pantai juga termasuk mereka yang mengutip lokan dan siput dipantai-pantai.

Laporan pendaratan ikan makan pada 2011 menunjukan kuantiti pendaratan ikan laut pantai mencecah 65 peratus berbanding pendaratan ikan laut dalam yang hanya mencatatkan sekitar 17 peratus. Justeru, perhatian harus juga diberikan kepada nelayan tradisional.

Dari aspek saiz atau keluasan kawasan operasi penangkapan ikan laut pantai ini, ianya sekitar skala lima batu nautika dari pantai. Keluasan secara keseluruhannya pula tidak begitu besar kerana faktor saiz bot dan kapasiti enjin yang kecil.

Projek Penambakan Persisir Pantai

‘Pejabat’ atau tempat kerja nelayan pantai ini adalah dipersisiran pantai, bermakna segala apa yang berlaku di kawasan persisir pantai, secara langsung akan memberi kesan terhadap mereka dan kerja mereka.

Projek-projek pembangunan atau dengan lebih tepat lagi projek penambakan laut di sekitar persisiran pantai berjarak lima batu nautika ini ditabrak tanpa perancangan yang teliti, maka ia akan menjadi projek pembangunan yang merosakkan.

Projek penambakan yang tidak teliti ini bermaksud projek yang dijalankan, dilakukan tanpa kajian mendalam atau tanpa mempedulikan kesan-kesan sampingannya. Ini juga bermakna, projek yang dijalankan itu adalah salah dari segi moral dan undang-undang.

Maka ini dinamakan sebagai 'projek gila'.  Apabila projek gila ini terus dijalankan, ia akan memberi kesan negatif terhadap ekosistem di sekitar kawasan terbabit.

Kesan kepada ikan dan juga sumber makanannya seperti rumpai laut dan benih atau anak-anak ikan akan semakin berkurangan, kualiti air akan menurun, hutan bakau akan pupus dan pantai akan terhakis bersama dengan karang-karang yang ada dan akhirnya hidupan asal disitu akan pupus dan sebahagiannya lari jauh ke tengah laut.

Bayangkan jika pejabat atau tempat anda cari makan diganggu, dikotori atau dirosakkan. Bagaimana anda dapat menghadapinya? Adakah dapat nelayan pantai ini bertukar menjadi nelayan laut dalam dengan enjin dan bot kecil yang mereka ada?

Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, nelayan pantai akan menghadapi kemerosotan hasil dan akhirnya akan kehilangan sumber pendapatan, kesannya juga akan dirasai oleh kita sebagai pengguna.

Projek Pulau Ubah

Salah satu contoh projek gila yang sedang menggila ini berlaku di perairan Tanjung Kupang, Selat Johor.  Lim Kit Siang menamakannya sebagai Pulau Ubah. Ia bersaiz keluasan sekitar dua ribu lima ratus ekar. Jaraknya tidak sampai 10 km dari pantai Singapura. Dari peta, kawasan ini menunjukan ia berada dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Kawasan yang ditambak ini pada asalnya adalah tempat yang bersih, ibarat satu kebun yang subur tanahnya. Dokumen Shoreline Management Plan 2013 mengenal pasti kawasan perairan Tanjung Kupang ini sebagai kawasan yang sangat kaya dengan biodiversiti marin kerana ia mempunyai rumpai laut (seagrass bed) yang mungkin antara yang terbesar di dunia.

Ia juga menjadi habitat kuda laut, juga kawasan tempat ikan dugong bermain, malah IRDA sendiri telah mencadangkan agar kawasan ini dilindungi dan diwartakan sebagai kawasan perlindungan marin (marine protected area).

Tetapi kini kawasan perairan tersebut sedang ditukar (tambak) menjadi tanah daratan tanpa diketahui untuk tujuan apa. Dalam dokumen Comprehensive Development Plan (CDP) yang telah diluluskan IRDA sebagai Masterplan Iskandar Malaysia, ‘Pulau Ubah’ ini tidak wujud sama sekali dalam perancangan tersebut. Namun, pulau tersebut sedang membesar, ini keajaiban yang pertama.

Persoalannya ialah bagaimana projek ini boleh dijalankan tanpa ada laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) dari Jabatan Alam Sekitar? Apakah agensi kerajaan negeri tidak tahu atau tidak ambil peduli?

Atau, apakah projek ini mendapat perlindungan dari pihak-pihak tertentu? Atau agensi yang bertanggungjawab hanya pejam mata dengan projek gila ini? Jika pejam mata, kuasa siapakah yang mengarahkan mereka untuk pejam mata? Ini keajaiban kedua.

Kesemua persoalan ini berkaitan dengan integriti serta urustadbir kerajaan negeri yang baik (good governance). Keseluruhan projek ini tidak menunjukkan adanya ketelusan dari pihak berkuasa. Pelan tak ada, papan tanda projek tak ada termasuk laporan dari EIA juga tak ada.

Kerajaan negeri Johor perlu diingatkan, ‘jangan main-main dengan undang-undang’, meminjam kata-kata mendiang Karpal Singh.

‘Mengata Dulang Paku Serpih’

Jika kita lihat sejarah isu penambakan laut ini, pastinya kita tidak lupa terhadap kerajaan Singapura suatu ketika dahulu sekitar tahun 2002, apabila mereka melakukan penambakan laut di Pulau Tekong. Masa itu kita turut protes.

Ketika itu kita mempertikai langkah kerajaan Singapura yang akan menjejaskan ekonomi dan ekosistem perairan kita. Liputan akhbar juga sangat meluas, ketika itu seolah-olah kita begitu prihatin terhadap alam sekitar dan kesan-kesannya ke atas ekonomi tempatan.

Tetapi rupa-rupanya bantahan itu hanyalah satu bentuk hipokrasi politik kerajaan BN. Dulu kita yang membantah, tetapi kini  yang mengambil langkah yang sama. Malah media massa kita seakan membungkam projek gila ini.

Jika kita selidik juga dengan lebih mendalam projek penambakan di Pulau Tekong itu, batu dan pasir yang digunakan untuk menambak itu sebahagiannya datang dari Malaysia juga. Hal ini tak pula dilaporkan media arus perdana secara meluas.

Dalam kes Pulau Ubah ini, Singapura tidak pula membantah seperti mana kita dahulu, mengapa agaknya? Adakah kerana  mereka sedar bahawa mungkin bantahan itu akan kembali mencetuskan ketegangan hubungan dua negara?

Atau Singapura sengaja membiarkannya kerana mereka tahu bahawa semua penambakan ini akhirnya akan ‘merapatkan’ lagi tanah semenanjung dengan pulau Temasik itu untuk faedah strategiknya.

Integriti Pentadbiran dan Hak

Kedua-dua isu nelayan pantai dan soal integriti kerajaan negeri, adalah suatu hal yang amat penting. Ketelusan pentadbiran kerajaan negeri akan menentukan masa depan ekonomi negeri dan sumber bekalan makanan untuk rakyat.

Kita perlu mengekalkan kewujudan nelayan tradisional bukanlah kerana kita mahu mereka terus menjadi nelayan tradisional, tetapi kita mahu ia dikekalkan kerana itu adalah hak mereka.

Maka sebagai kerajaan yang amanah, harus melindungi hak mereka untuk menjadi nelayan. Hak rakyat untuk memastikan bekalan sumber makan laut terjamin dan hak alam ini untuk dilindungi. Dan semua ini adalah hak kita untuk membangun dan maju dengan cara yang betul.

Jangan mengata dulang paku serpih, mengata orang diri sendiri yang lebih.

(*)  Penulis ialah seorang pendukung seni dan kebudayaan yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) dan Ahli Jawatankuasa DAP Johor.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722