TEMERLOH – Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan menyatakan kesediaan untuk berdialog dengan MCA bersama Gabungan Persatuan Cina Temerloh, bagi menyelesaikan polemik isu pelaksanaan hukuman hudud yang menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini.
Beliau berkata, dialog itu bertujuan untuk merungkai segala salah faham berkenaan pelaksanaan hudud, selain mereka boleh menyuarakan perkara yang tidak mereka faham tentang pelaksanaannya.
“Saya memahami bahawa isu pelaksanaan hukuman hudud ini timbul bukan sahaja daripada kalangan masyarakat bukan Islam, malah masyarakat Islam sendiri sebahagiannya masih memerlukan pencerahan mengenai pelaksanaan hudud ini secara keseluruhannya,” katanya.
Nasrudin berkata, pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah adalah salah satu penyelesaian atau alternatif kepada kegagalan semasa yang dihadapi undang-undang konvensional sedia ada.
Justeru katanya, atas hak yang dibenarkan sistem demokrasi, penerangan mengenai hukuman hudud juga perlu dihormati dan diadili sebaiknya supaya isu jenayah dan keselamatan yang sedang melanda negara dapat dibendung dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, surat tawaran dialog itu telah dikeluarkan Pejabat Parlimen Temerloh, semalam.
“Saya mengharapkan semua pihak terutamanya MCA dan Gabungan Persatuan Cina Temerloh bersedia untuk berdialog dengan kami bagi menjelaskan apa yang mencetus salah faham mereka terhadap Islam dan pelaksanaan hukuman yang ditetapkan oleh Islam.
“Bila dan di mana majlis dialog itu, terpulang kepada kesediaan MCA dan saya perlu mendapat respons dari pihak mereka terlebih dahulu setelah mereka menerima surat dari kami selepas ini.
“Dialog adalah salah satu jalan terbaik untuk memberi jawapan kepada 1,001 persoalan yang mencetus kebimbangan mereka terhadap hasrat Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah dan mana-mana pihak yang keliru sewajarnya menerima penjelasan terlebih dahulu sebelum menentang,” katanya.