Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Bantah GST, jangan terhenti di 501

$
0
0

CY MOHAMMAD FAIZAL


PETANG 1 Mei 2014 bersamaan 1 Rajab 1435H, rakyat telah membuktikan bahawa himpunan aman tidak akan mencetuskan sebarang kejadian tidak diingini selagi mana tiada gangguan dari mana-mana anasir. Lebih khusus lagi, ia membuktikan bahawa rakyat yang menolak kerajaan yang hanya bertongkatkan 47 peratus sokongan pengundi tidak sekali-kali bersifat ganas dan mencetus huru hara dalam himpunan 501.

Hampir kesemua media utama pada malam hari mengucap syukur dengan himpunan aman yang berlangsung tanpa sebarang kekecohan. Mugnkin mereka juga baru sahaja sedar bahawa 52 peratus pengundi yang bersama Pakatan Rakyat amat cintakan kedamaian dan keamanan. Baru juga mereka sedar bahawa himpunan 501 adalah semata-mata ingin menunjukkan sikap rakyat yang sekali-kali tidak menerima perlaksanaan cukai perkhidmatan dan barangan atau popular di sebut “GST”.

Bukan soal untuk gulingkan kerajaan atau apa saja istilah yang mencemar demokrasi. Hanya bayang-bayang mereka yang lemah sahaja rasa gerun dan gundah gulana dengan sikap yang ditunjukkan oleh kekuatan rakyat.

Persoalannya apakah sudah memadai dengan himpunan 501 tersebut? Pada pandangan saya, demi untuk membantah perlaksanaan GST, ia masih jauh dari mencukupi.

Demikian juga apakah cukup dengan himpunan 501 kita hanya perlu menantikan pilihan raya umum akan datang untuk menghentikan perlaksanaan GST? Kalau saya seorang penyokong Barisan Nasional, saya masih boleh tidur lena kerana BN masih cukup ampuh untuk ditumbangkan dalam pilihan raya umum sekaligus mampu melaksanakan GST.

 Justeru, kepada mereka yang cukup sedar peri zalimnya GST, tindakan susulan mesti dirancang agar GST benar-benar dibatalkan. Kita masih ada ruang dan peluang untuk memastikan GST tidak gah dilaksanakan di Malaysia.

Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan sesuatu rang undang-undang hanya akan menjadi undang-undang yang berkuatkuasa sebaik diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong secara langsung atau tidak langsung.

Perlu kita tahu, setiap rang undang-undang yang hendak dibawa kepada Yang Dipertuan Agong kemudian diwarta dan disiarkan, perlu ada satu tarikh kuatkuasa yang telah ditetapkan oleh Menteri bertanggungjawab dan perlu dinyatakan dalam rang undang-undang berkenaan. Dalam isu GST, tarikh yang diimpikan oleh kerajaan BN ialah April 2015.

Yang boleh kita lakukan sekarang? Pilihan pertama, rang undang-undang GST boleh dibatalkan untuk disembahkan kepada Yang Dipertuan Agong. Tidak perlu persembahkan rang undang-undang tersebut untuk diperkenan.

Jika pun rang undang-undang tersebut akan dipersembah untuk diperkenan, dengan desakan berterusan dari rakyat, Menteri masih boleh membatalkan undang-undang tersebut dari berkuatkuasa. Persoalannya apakah rakyat yang digambarkan oleh 52 peratus ini mampu member desakan dan tekanan kepada kerajaan BN untuk benar-benar mendahului keperluan rakyat?

Di sinilah keutuhan suara dan kesungguhan para pimpinan dan penggiat rakyat diperlukan. Dengan apa cara sekalipun, suara rakyat mesti mampu diterjemah agar GST tidak akan menjadi agen kezaliman menindas kehidupan rakyat yang telah sedia derita.

Harus diingat, GST tidak hanya membebani penyokong Pakatan Rakyat dan pembangkang semata-mata. Ia akan turut dirasai oleh penyokong BN dan sesiapa sahaja selagi ia mendiami bumi Malaysia.

Justeru, jadikan himpunan 501 sebagai mata rantai perjuangan rakyat. Ia bukan suatu permulaan yang baru. Apatah lagi ia bukan suatu pengakhiran kepada gema suara rakyat. Hanya mereka yang tiada mata hati yang akan mengabaikan derita dan sengsara rakyat.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722