Ternyata Presiden AWER, S. Piarapakaran tidak mengemas kini maklumat daripada sumber sahih.
PETALING JAYA: Kenyataan Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) bahawa Kerajaan Negeri memperjudikan nasib rakyat kerana menghentikan catuan air walaupun empangan tidak mencapai 55 peratus dan mengaitkan Langat 2 sebagai punca krisis air amat tidak berasas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi (gambar), Kerajaan Selangor berkali-kali menegaskan bahawa Langat 2 bukan penyelesaian sepenuhnya kepada kekurangan air di Lembah Klang kerana loji berkenaan hanya membekalkan 1,000 juta liter air sehari (JLH) sahaja.
“Ternyata Presiden AWER, S. Piarapakaran tidak mengemas kini maklumat daripada sumber sahih dan ini sekali gus menjejaskan kredibiliti beliau dan badan bukan kerajaan yang diwakilinya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, beliau sepatutnya membuat penyelidikan tentang usaha-usaha yang sedang dan akan dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi menambah simpanan bekalan air mentah untuk masa sekarang dan sehingga enam bulan akan datang apabila musim kering berlanjutan yang diramal berlaku sehingga September depan.
“Kita juga kesal kerana akhbar Sinar Harian tidak mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan Negeri kerana laporan tidak benar boleh menimbulkan kegelisahan pengguna-pengguna di Lembah Klang,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, Kerajaan Selangor juga telah membuat kajian dan perancangan sebagai persediaan memastikan bekalan air mentah mencukupi untuk keperluan pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum mengambil keputusan menghentikan catuan air bermula 1 Mei lalu.
“Antara perancangan itu termasuklah menggunakan air kolam yang dipamkan ke Sungai Selangor untuk meningkatkan paras air sungai dan ini mengurangkan pelepasan air dari empangan.
“Dengan kaedah ini, pelepasan air dari empangan akan lebih terkawal dan tempoh untuk empangan mencapai tahap kritikal dapat dilanjutkan,” katanya.
Tambah beliau lagi, selain hujan semulajadi diramal berlaku sehingga akhir Mei ini, Kerajaan Selangor juga akan melaksanakan pembenihan awan menggunakan ‘Royal RainMaker Technology’ daripada Thailand yang diakui terbaik di dunia.
“Kita sedang menunggu kebenaran Kementerian Pertahanan kerana kaedah ‘Ejectable Flare Rack’ ini dikatakan melibatkan aspek keselamatan negara.
“Dengan perancangan ini, kita yakin keputusan menghentikan catuan air adalah munasabah walaupun paras empangan selamat adalah melebihi 50 peratus seperti yang dinasihat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS),” katanya.