KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditolak dari dibahaskan di Parlimen kerana kerajaan takut penindasan terhadap Orang Asal terbongkar.
Timbalan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN, Bob Manolan Mohamad berkata, kerajaan bimbang segala penindasan mereka terhadap Orang Asal terbongkar dan isu yang dibangkitkan ini mendapat sokongan terutama daripada penduduk Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan tak nak bahas di Parlimen sebab mereka takut kroni-kroni BN yang pernah tindas Orang Asal akan terbongkar.
“Mereka juga bimbang isu ini mendapat sokongan penuh daripada Pakatan Rakyat, penduduk Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.
Kata Bob Manolan (gambar), kerajaan tidak pernah serius menyelesaikan isu tanah adat Orang Asal dan dan hanya diberi perhatian ketika ada kepentingan.
“Sudah 40 tahun isu ini dibangkitkan tapi tiada perubahan berlaku. Kerajaan menganaktirikan Orang Asal. Tanah adat mereka dirampas
“Kerajaan tak pernah fikir untuk naik taraf ekonomi, pendidikan dan juga pembangunan bagi Orang Asal ini,” katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengeluarkan laporan berhubung kelemahan dalam pengurursan hal berkaitan Orang Asal termasuk isu tanah adat dan kelemahan pentadbiran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Berhubung isu sama, Badan Pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) berpendapat dasar kerajaan dan undang-undang serta perubahan dasar yang memakan masa merupakan aspek yang mneyebabkan kelewatan perbincangan kepentingan dan hak Orang Asal.
KPRU menggesa agensi berkaitan orang Asal dipantau bagi memastikan pelaksanaan efektif dan berkesan.
Ini kerana pelaksanaan merupakan tindakan praktikal bagi menentukan kejayaan dasar yang dirancang dan undang-undang yang diamalkan.