Duta AS ke Malaysia, Joseph Y Yun, berkata walaupun perjanjian perdagangan pelbagai hala itu pada asasnya rumit, semua rakan kongi mahu memuktamadkannya secepat mungkin.
"Obama menamatkan penggal pentadbirannya pada 2017 dan kita kini pada Mei 2014. Oleh itu saya fikir beliau mempunyai banyak masa.
"Semua negara mempunyai isu dan saya melihat ia akan dimuktamadkan ketika penggal Obama. Sudah pasti," katanya di majlis meja bulat media di kedutaan AS di Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, perjanjian perdagangan ini mempunyai banyak elemen, ia bukan setakat mengurangkan tarif dan ia perlu dimuktamadkan secara wajar di segi politik serta boleh diterima di peringkat domestik.
Malaysia kini sedang berunding dengan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Jepun untuk memuktamadkan TPPA itu.
Yun berkata, mengikut Institut Ekonomi Antarabangsa, Malaysia mendapat manfaat paling besar daripada TPPA berkenaan.
Ditanya mengenai rancangan seterusnya untuk TPPA, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Obama berbincang secara panjang lebar mengenai perdagangan serta pelaburan sehingga kepada sensitiviti domestik.
"Mereka bersetuju yang setiap orang yang terbabit dalam TPPA perlu memahami semua isu, dan menyerahkan butiran terperinci kepada menteri masing-masing untuk diselesaikan supaya kita dapat mencapai penyelesaian yang baik dan terus bergerak ke depan," katanya.
Kepada soalan bilakah AS menjangka tarikh akhir TPPA, Yun berkata, walaupun tiada tarikh ditetapkan, apa yang paling penting ialah mencapai perjanjian yang baik dan berkualiti tinggi.
Kepada soalan lain, Yun berkata, perjanjian perdagangan itu mempunyai bidang yang luas dan mempunyai 29 bab dan negara terbabit masih berunding mengenainya.
"Mesyuarat peringkat menteri seterusnya dijadual diadakan di Singapura. Jika anda mempunyai kepentingan khusus, anda mahu ia menyebelahi anda, tetapi jika anda tidak mempunyai kepentingan khusus, tolong bersabar sedikit dan jangan membuat pengadilan awal terhadap perjanjian itu," katanya.
Ditanya mengenai sesetengah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang menentang TPPA, Yun berkata: "Ia adalah mengenai bagaimana Malaysia menanganinya. Seperti yang anda tahu, selalu terdapat orang yang tidak gembira dengan perjanjian perdagangan itu.”
"Dalam kes ini, semua kajian menunjukkan Malaysia adalah pemenang terbesar dalam perjanjian ini. Terpulang kepada kerajaan anda untuk membuka jalan agar ia diterima secara meluas," katanya. – Bernama