‘Kubah’ bilik persalinan diturunkan 
Bangunan itu selepas bahagian atas menyerupai kubah masjid diturunkan.


KOTA TINGGI - Bilik persalinan berdekatan kolam mandi di Hotel Lotus, Desaru, di sini, menjadi isu selepas ada pihak memuat naik gambar bangunan yang didakwa menyerupai rumah ibadat di laman sosial, kelmarin.

Ekoran itu, pihak pengurusan hotel mengambil langkah segera menurunkan bahagian atas bangunan tersebut yang menyerupai kubah masjid bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan pengunjung hotel terbabit.

Pengurusnya, Indra Ghandi berkata, dia turut hairan mengapa isu tersebut dibangkitkan sedangkan bangunan tersebut telah lama dibina sejak hotel tersebut dikenali sebagai Desaru Impian.

Menurutnya, tanggapan orang ramai yang mendakwa bangunan tersebut tandas juga adalah tidak benar kerana bangunan tersebut merupakan bilik persalinan.

“Ia menjadi salah faham selepas ada pihak memuat naik gambar itu di laman sosial mengatakan bangunan itu tandas yang menyerupai surau.

“Sejak dahulu lagi bangunan tersebut telah ada, malah dengan rekaan sama seperti sekarang. Bangunan tersebut dibina dengan rekaan ala Morocco, bagaimanapun ia disalah anggap sesetengah pihak.

“Oleh itu sebagai langkah terbaik kita turunkan bahagian atas bangunan tersebut pagi tadi (semalam).

“Pihak pengurusan juga tidak mahu salah faham ini berterusan terutama kepada pengunjung hotel ini,” katanya.

Menurutnya, diharap dengan langkah yang diambil pihak pengurusan itu, orang ramai akan berhenti daripada memainkan isu tersebut.

Tambahan, isu tersebut merupakan isu sensitif terutama masyarakat di Malaysia adalah masyarakat majmuk.