KUALA LUMPUR: Genap setahun Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang menyaksikan majoriti pengundi memilih Pakatan Rakyat, rakyat Malaysia terus-menerus dikecewakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengheret negara mundur ke belakang.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, sepanjang tempoh setahun ini, proses pembentukan Malaysia menuju negara maju dengan warga yang bersatu padu rosak teruk di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Usaha ke arah pembentukan rakyat pelbagai kaum dan agama yang bersatu padu tidak pernah mengalami kemerosotan seteruk setahun ini, meskipun dengan dasar 1Malaysia dan kempen antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global oleh Najib.
“Namun, di ambang genap ulang tahun pertama PRU ke-13 Mei lalu, rakyat dilanda kekecewaan terhadap Najib di atas kegagalan dasar-dasar beliau,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya lagi, sepanjang setahun ini, rakyat juga menyaksikan prestasi negara terus merosot di peringkat dunia, dalam aspek antaranya pendidikan, hak asasi dan keadilan ekonomi.
“Ia memberikan kekecewaan besar kepada 52 peratus pengundi yang ingin melihat perubahan politik menuju Impian Malaysia, di mana negara kembali kepada landasan keadilan, kedaulatan undang-undang dan kemakmuran,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.
Kedudukan negara di peringkat dunia terus merosot, terutama dalam bidang pendidikan apabila Malaysia gagal tersenarai dalam kedudukan terkini indeks Times Higher Education (THE), walau pun lima tempat teratas senarai itu diduduki negara Asia.
Selain itu, Malaysia menduduki tangga 147 daripada 180 buah negara dalam Indeks Kebebasan Media 2014 yang dikeluarkan badan Reporters Without Borders – kedudukan terendah negara sepanjang 12 tahun ia diadakan.
Ada kemungkinan Pakatan berpecah?
Tokoh politik veteran itu turut menyuarakan kebimbangannya dengan kemungkinan perpecahan Pakatan Rakyat, apabila Umno sekali lagi mengambil peluang ke atas isu hudud yang kembali hangat.
“Genap setahun juga menyaksikan kemungkinan berbahaya akan perpecahan Pakatan. Ini tidak boleh dipandang ringan.
“Majoriti besar yang mengundi Pakatan dalam pilihanraya lalu menginginkan pertukaran kerajaan dan dasar negara, bukan undang-undang hudud. Lagi pula, sesiapa yang tidak menyokong hudud bukanlah anti-Islam, tetapi kerana Perlembagaan Persekutuan memnyediakan Malaysia sebagai negara sekular yang demokratik,” katanya.
Katanya lagi, Pakatan tentunya tidak akan dapat terus menafikan majoriti dua pertiga BN, malah akan kalah teruk jika hudud menjadi agenda mereka pada pilihanraya umum lalu.
“Rakyat ingin Pakatan terus bertambah kuat dan mencapai peralihan di peringkat persekutuan pada PRU ke-14 nanti. Namun jika hudud menjadi isu utama, Pakatan akan menerima nasib sama seperti Barisan Alternatif.
“Lalu, ketiga-tiga parti, DAP, PAS dan PKR akan kalah, hanya Umno dan parti-parti BN yang menjadi pemenang. Dan itu adalah bencana yang sebenar-benarnya untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi. – Roketkini.com