KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa penjawat awam yang menyertai Himpunan 1 Mei sebagai pengkhianat adalah tindakan melampau dan keterlaluan.
Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri berkata, kakitangan awam tidak sepatutnya dihalang untuk menyertai perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana mereka juga mempunyai hak untuk bersuara.
Katanya, kebebasan menyatakan pendirian masing-masing terhadap sesuatu perkara atau isu juga jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Soal kakitangan bekerja dengan kerajaan itu urusan masing-masing kerana selagi mereka bekerja dan menjalankan tugas dengan amanah dan baik itu tidak menjadi masalah.
“Cuepacs sepatutnya menyatakan kakitangan awam atau pegawai tinggi yang terbabit dengan amalan rasuah itu adalah pengkhianat, tetapi mereka tidak pernah buat. Kita amat kecewa dengan kenyataan Cuepacs,” katanya, lapor SelangorKini.
Semalam, Pengerusi Cuepacs, Azih Muda dipetik berkata, penjawat awam yang terbabit dalam perhimpunan yang menentang kerajaan itu melanggar Aku Janji dan Ikrar Perkhidmatan yang dibuat.
Beliau turut menganggap penjawat awam yang menyertai himpunan itu sebagai pengkhianat dan boleh keluar daripada menjadi penjawat awam.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dilapor berkata, penjawat awam yang didapati terlibat dalam perhimpunan semalam akan dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang kerja.
Mengulas lanjut, Yahya berkata, pihaknya turut menyanjung tinggi keberanian penjawat awam yang turun ke jalanan bagi menyatakan hasrat dan pendirian mereka terhadap GST yang jelas menindas serta membebankan rakyat daripada sudut kos sara hidup.
Kerajaan katanya perlu mempunyai alternatif lain untuk membantu rakyat menjana pendapatan tambahan jika mereka memang ikhlas memperjuangkan kepentingan rakyat, bukan sekadar mendengar sahaja.