Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Kalau kita tidak lakukan jenayah takut apa - Vincent

$
0
0

ASLANI M 



 


KOTA BHARU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mengambil ketetapan menyokong cadangan kerajaan Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11.

Naib Ketuanya, Vincent Lee berkata, keputusan itu dibuat anggota jawatankuasa Dewan Harian DHPP baru-baru ini kerana sekarang masa paling sesuai bagi pelaksanaan perundangan syariah.

“Kalau kita tidak lakukan jenayah hendak takut apa. Lagi pun perundangan hudud hanya untuk orang Islam sahaja.

“Sebab itulah saya sedih apabila ada pihak yang tidak faham mendakwa wanita dan kanak-kanak akan teraniaya dengan perundangan hudud,” katanya pada ceramah penerangan hudud di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan, anggota Exco, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood dan wakil-wakil NGO.

Sebelum itu orang ramai yang hadir menunaikan solat hajat diimamkan anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat.

Pada program itu juga wakil-wakil NGO melafazkan ikrar sokongan penuh pelaksanaan hudud di Kelantan diketuai Pegerusi Peguam Syarie Kelantan, Nik Baharum Nik Abdullah.

Vincent Lee juga berkata, perundangan hudud bukan semata-mata untuk menghukum seseorang pesalah, sebaliknya memberi pengajaran kepada mereka dan orang lain.

“Pengajaran yang boleh membawa kepada keinsafan dan bukannya menghukum. Lagi pun sekarang jenayah semakin menular dan tidak mampu lagi dibendung undang-undang yang ada.

“Oleh itu kami DHPP memberi sokongan penuh bagi membolehkan perundangan hudud dapat dilaksanakan bermula di Kelantan,” ujarnya.

Menurutnya juga beliau menasihat media-media berbahasa Cina tidak menyiarkan kenyataan mengenai hudud dikeluarkan mereka yang tidak faham kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

Kerajaan Kelanta pada 2 April lalu mengambil keputusan untuk membawa usul persendirian ke parlimen bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang dilulus sejak 1993 dapat dilaksanakan.

Pada petang semalam Vicent Lee turut menemui Mohd Amar dan Dr Muhammad Fadzli di Kota Darulnaim bagi mendapat gambaran lebih jelas mengenai perundangan hudud.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722