Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mashar (kanan) bersama Pemegang Amanah Tetap MTEM, Rizal Faris Mohideen dalam wawancara khas bersama Sinar Harian Online selepas bertemu wakil AS. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perkara-perkara berbangkit berkaitan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dalam pertemuan khas dengan wakil Amerika Syarikat, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nizam Mashar akui pertemuan itu membuka ruang kerjasama antara pihaknya dengan AS.
Malah menurutnya, AS dan MTEM sedang saling memahami antara satu sama lain berhubung perkara yang dibangkitkan dalam perjanjian TPP ini.
"Dalam perbincangan tadi, mereka bawa 75 garis merah yang disediakan MTEM sebelum ini, jadi, mereka sedia faham bahawa itu adalah isu-isu yang kita ketengahkan.
"Mereka sebenarnya telah meneliti. Jadi, dalam perbincangan tadi lebih kepada memperjelaskan pendirian masing-masing. Bagaimana nak tangani jurang maklumat ini, supaya semua pihak tidak menyatakan fakta yang tidak betul," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, hari ini.
Wakil Perdagangan AS, Michael Froman; Timbalan Kaunselor Ekonomi, Matthew Ingeneri dan Wakil Perdagangan AS di Selatan Timur Asia dan Pasifik, Barbara Weisel hadir dalam pertemuan dengan wakil MTEM selama satu jam tiga puluh minit di ibu kota, hari ini.
Melalui pertemuan itu, Mohd Nizam berkata, pihaknya telah menyuarakan pendapat agar AS memainkan peranan dalam memastikan pandangan daripada pihak- pihak lain selain Malaysia turut diambil kira.
Tambah Mohd Nizam, kebimbangan itu disuarakan sejak dulu dengan lantang bagi membela nasib masa depan negara yang bakal diwarisi anak-anak bangsa ini.
Sementara itu, Pemegang Amanah Tetap MTEM, Rizal Faris Mohideen berkata, ketika perjanjian TPP itu dirangka, AS tidak memahami isu-isu domestik yang menjadi kerisauan di negara ini.
"Apa yang kita perasan, seolah-olah pihak AS tidak memahami isu-isu domestik dalam Malaysia ini apabila perjanjian TPP ini dirangka... sewaktu mereka berunding.
"Kekangan daripada pemahaman pihak AS dengan apa yang berlaku di sini dengan permintaan rakyat Malaysia. Ia bermula daripada proses rundingan TPP itu. Contohnya, semua yang dibincangkan adalah sulit. Sudah tentu tiada ketelusan," katanya.