KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan melancarkan kempen ‘Nyah Taib’ di Kuching, Sarawak, 29 Disember ini, kata penyelaras kebangsaan NGO itu, Badrul Hisham Shaharin.
SAMM dalam kenyatannya berkata, ‘Nyah Taib’ bagi memberi tekanan kepada Ketua Menteri paling lama yang terpalit dengan rekod rasuah dan salah guna kuasa sepanjang kekuasaannya.
“Telah beberapa kali (Taib) berjanji untuk bersara, namun sehingga kini sering mengelak dengan perbagai alasan,” kata atau Badrulhisham yang lebih dikenali dengan nama Chegubard.
Katanya, pelancaran bakal disertai 11 penyelaras dan pengarah SAMM Kebangsaan sempena lawatan kerja ke Sarawak bermula 27 hingga 30 Disember.
Tambah Chegubard, lawatan kerja dibuat sebagai pemahaman kepada penyelaras SAMM dari seluruh Malaysia untuk memahami isu akar umbi Sarawak.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sarawak untuk turun ke akar umbi bagi menyedarkan rakyat mengenai kepincangan dan keterlaluan Taib bersama keluarganya mengumpul harta kekayaan.
“Satu kempen kesedaran perlu dilakukan dari sekarang demi mempertingkatkan tahap pendidikan politik pengundi,” kata Chegubard (gambar).
Dalam pada itu katanya, media pro-Taib telah mula menuduh lawatan kerja SAMM sebagai persediaan KEADILAN Sarawak mengadakan demonstrasi pada 29 Disember di hadapan rumah Taib.
“Besar kemungkinan juga beberapa pemimpin SAMM akan dihalang dari memasuki Sarawak.
“Namun SAMM yakin dengan kebijaksanaan pasukan keselamatan dapat menjalankan tanggungjawab secara profesional,” katanya