Sikap manusia jadi punca utamaMasyarakat perlu dididik tentang kepentingan menggunakan air secara berhemah agar tidak membazir. (Gambar hiasan)


SHAH ALAM - Masalah catuan air berlaku di negeri ini bukan sahaja disebabkan faktor pencemaran mahupun cuaca tetapi lebih kepada sikap masyarakat sendiri yang mengambil mudah mengenai sumber alam sekitar.

Perunding Alam Sekitar, Amlir Ayat berkata, beliau menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa masalah bekalan air kini disebabkan oleh faktor cuaca semata-mata.

Amril berkata, ia sepatutnya dilihat secara bersepadu kerana melibatkan beberapa faktor tetapi sikap membazir merupakan punca utama kepada permasalahan ini.

Menurutnya, beliau menjelaskan pembaziran dimaksudkan adalah purata penggunaan air per kapita liter seorang sehari.

Katanya, rakyat negara ini menggunakan 225 liter sehari berbanding kadar 180 liter ditetapkan oleh World Health Organization (WHO).

“Air sebenarnya cukup tetapi sebab faktor lain antaranya pencemaran menjadikannya semakin buruk tetapi lebih kepada masalah sikap kita sendiri dalam penggunaan air kerana mengambil sikap sambil lewa hingga membazir.

“Saya bagi contoh Arab Saudi, jumlah rakyat hampir sama dengan kita kira-kira 30 juta orang dan di sana hanya terima 74 mm hujan setahun berbanding kita 2,000 mm tetapi mengapa tiada masalah di sana? Ini kerana cara kita menggunakan air terlalu banyak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada masalah catuan air berlaku di negeri ini berpunca daripada faktor pencemaran dan cuaca.

Amlir berkata, beliau menggesa kerajaan menitikberatkan usaha memberi kesedaran kepada rakyat dalam memelihara alam.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya mendidik masyarakat untuk menghargai alam dan tidak memandang remeh.

Katanya, pendidikan sejak di bangku sekolah perlu diterapkan supaya hasilnya dapat dilihat dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.

“Masyarakat perlu dididik mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan ia perlu dilakukan sejak di sekolah.

“Biarpun hasilnya dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang tetapi ia pastinya akan menguntungkan negara kelak,” katanya.