Selepas 11 tahun, keluarga Ulaganathan Muniandy, remaja 19 tahun yang mati dalam tahanan polis akhirnya mendapat pembelaan apabila menang kes saman ganti rugi daripada Putrajaya meskipun punca kematian masih lagi kekal misteri sehingga kini.
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, keputusan mahkamah itu akhirnya memberi pembelaan dan penutup kepada keluarga mangsa apabila kematian remaja itu dipercayai daripada penyalahgunaan kuasa dan kecuaian polis.
Setiausaha Agung, Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, berkata meskipun keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memihak kepada keluarga itu, beliau tetap mempersoalkan adakah kerajaan akan membiarkan insiden yang menimpa Ulaganathan berulang tanpa ada penguatkuasaan yang sebenar.
"Dalam kes ini, biarpun ganti rugi diterima keluarga mendiang namun kita mahu tekankan beberapa kelemahan penguatkuasaan undang-undang yang mempunyai unsur salah guna kuasa dan kecuaian pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Dewan Perniagaan Cina Selangor- Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, apa yang menjadi persoalan utama mengapa inkues siasatan bebas mengenai kematian remaja itu diadakan selepas empat tahun kes tersebut dilaporkan.
Katanya, inkues itu juga seperti tidak membawa sebarang makna apabila tiada pesalah ataupun punca kematian yang diputuskan.
"Ulaganathan hanya seorang remaja 19 tahun, beliau hanya suspek kes bunuh, tetapi oleh kerana polis menahannya di bawah Akta Ordinan maka hak untuk mendiang mendapat perbicaraan ditarik.
"Sepanjang tempoh 11 tahun ini keluarga mendiang bergelut dengan kesukaran hidup, dan akhirnya selepas kes ini difailkan, mereka mendapat pampasan. Tetapi punca kematian masih tidak diketahui hingga kini, " katanya.
Bagaimanapun, Arutchelvan berkata, beliau tidak dibenarkan mendedahkan berapa jumlah pampasan yang diterima atas arahan pihak mahkamah.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Jawatan Kuasa Hak Asasi Majlis Peguam, Roger Chan yang turut hadir pada sidang media itu mengkritik pihak berkuasa yang gagal mematuhi perundangan negara.
"Dalam perundangan negara kita ada peraturannya yang menyatakan sekiranya berlaku kematian di bawah penyeliaan polis maka inkues perlu diadakan.
"Salam kes mendiang, inkues dilakukan selepas empat tahun dan itu pun apabila kita memfailkan tuntutan di mahkamah barulah peguam negara memanggil untuk mengadakan inkues," katanya.
Beliau berkata, negara tidak mempunyai kepakaran dalam mengendalikan kes kematian dalam tahanan.
"Banyak kelemahan dalam pengendalian kes seperti ini dan antaranya ialah kita tidak ada pakar melibatkan koroner untuk menjalankan siasatan.
"Anggota polis yang dipanggil menjadi saksi pula adalah pegawai yang mengumpulkan maklumat dalam kes itu. Ini amat mengecewakan kerana pihak berkuasa yang sepatutnya mematuhi perundangan namun mereka yang membelakangkan undang-undang," katanya.
Ibu mendiang, Tamil Selwee yang hadir sama pada sidang media itu dilihat tidak dapat menahan hiba apabila diminta untuk bercakap.
"Mendiang merupakan anak yang baik dan saya percaya dia langsung tidak terlibat dengan jenayah Dia selalu menolong keluarga daripada segi kewangan dan merupakan satu-satunya anak lelaki saya.
"Apa yang saya rasa tidak patut dilalui oleh ibu bapa yang lain, 11 tahun kami bergelut mendapat keadilan, berjuang bersama ini sesuatu yang amat sukar," katanya.
Pada 12 Mei, 2003, mendiang Ulaganathan ditahan bersama seorang kawannya bernama Mohan ketika sedang membantu ibunya berniaga di gerai makan.
Mangsa ditahan reman dan kemudian ditahan mengikut Ordinan Darurat biarpun tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah atas sebarang kesalahan jenayah.
Remaja lelaki itu dikatakan tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah dan ibunya, Tamil melawat mendiang sebanyak 4 jali.
Pada kali terakhir menemui anaknya iaitu pada 11 Julai, 2003, Tamil mendapati mata mendiang lebam dan cedera.
Pada 21 Julai, 2003, Tamil dimaklumkan mendiang meninggal dunia pada jam 3 pagi dipercayai kerana penyakit asma.
Bagaimanapun, beliau mempercayai alasan itu kerana mendakwa anaknya tidak pernah mempunyai penyakit itu.
Dalam permit penguburan mangsa menyatakan sebab kematiian tidak boleh dipastikan.
Suaram kemudian membantu Tamil memfailkan tuntutan sivil ke atas polis pada Julai 2006 bersama Majlis Peguam.
Pada 29 Julai, 2008 Tamil memenangi kes tuntutan tersebut dan Mahkamah Tinggi mengesahkan kematian mendiang mempunyai kaitan dengan kecuaian dan penyalahgunaan kuasa oleh polis.
Keluarga tersebut menerima pampasan kerugian daripada polis seperti diarahkan mahkamah pada 9 April tahun ini.
Susulan itu, Suaram menggesa Putrajaya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk mendapatkan keadilan kepada keluarga yang mengalami nasib serupa.