Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Catuan air diteruskan kerana hujan tidak turun di takungan utama, kata Exco Selangor

$
0
0
THE MALAYSIAN INSIDER

 
Exco kerajaan negeri Selangor Dr Ahmad Yunus mengatakan sementara catuan air ini supaya menggunakan air hujan apabila adanya peluang dan tidak bergantung 100% pada air paip. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 19 April, 2014. Exco kerajaan negeri Selangor Dr Ahmad Yunus mengatakan sementara catuan air ini supaya menggunakan air hujan apabila adanya peluang dan tidak bergantung 100% pada air paip. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 


Walaupun hujan lebat turun di Lembah Klang, namun ia tidak turun di kawasan takungan air utama di Sungai Selangor dan Klang Gate, kata Exco kerajaan negeri Selangor Dr Ahmad Yunus.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu, empangan Sungai Selangor membekalkan lebih 60% keperluan air kepada penggunanya di Lembah Klang yang termasuk Selangor dan Kuala Lumpur.

"Malangnya, hujan tidak turun di kawasan tadahan, termasuk di empangan Sungai Selangor.

Beberapa empangan kita yang lain mula dituruni hujan termasuk Langat, Semenyih dan lain-lain. Di empangan ini ada peningkatan. Cuma di empangan Sungai Selangor dan Klang Gate tidak berlaku hujan," kata Dr Ahmad dalam temubual khas beliau dengan Harakahdaily.

Pengguna air di Lembah Klang terus bermasalah apabila air mereka dicatu setiap dua hari sekali.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan catuan ini akan berterusan sehingga empangan utama khasnya Empangan Sungai Selangor mendapat air sehingga 55% atau sekurang-kurangnya 50%.

"Di empangan Sungai Selangor, kita buat pembenihan awan, tetapi ia tidak banyak membantu.
Dua tiga hari lepas, paras empangan Sungai Selangor 37.79%. Dengan hujan agak lebat sehari dua ini, saya rasa sekarang sudah menghampiri 40%," kata Dr Ahmad dalam wawancara itu.

Beliau menjangkakan, hujan akan turun sehingga pertengahan bulan Mei. Namun pihaknya khuatir sebab selepas itu akan mula semula musim kemarau.

"Sebab itulah kita berhati-hati dalam membuat keputusan," katanya.

Menurutnya, kalau hujan berlaku dengan konsisten, mungkin empangan boleh capai paras 55% pada pertengahan Mei.

"Dalam keadaan hujan biasa, jika kita mahu memenuhkan empangan Sungai Selangor, mencapai paras selesa iaitu 80 hingga 90% ia memerlukan tempoh enam hingga lapan bulan," kata Dr Ahmad lagi.

Menurut beliau, Selangor juga akan manfaatkan sumber air bawah tanah sebagai alternatif.

"Kita juga memulakan projek Hybrid off River Augmentation System (Horas). Kita membuat satu tasik dan ambil air daripada anak sungai yang berlebihan arahkan ke situ untuk jadi takungan," katanya.

Kerajaan negeri, katanya, dalam peringkat permulaan pembinaan di sungai Darah Kuala Selangor dan dijangka sudah boleh digunakan tahun depan.

Ia akan mendapatkan 600 juta liter sehari (JLH).

Bagi menghadapi situasi hujan lebat tetapi air terus dicatu, Dr Ahmad mencadangkan agar semua pengguna menyimpan air hujan untuk kegunaan selain daripada minuman.

"Sebagai didikan juga kepada rakyat, kalau pada diri saya sendirilah, dalam keadaan tiada air paip tetapi hujan lebat, kita boleh simpan air hujan untuk kegunaan selain makan minum. Ambil peluang masa hujan ini.

"Jangan bergantung 100% pada air paip. Kalau saya sendiri tidak ambil air hujan ini dalam keadaan air paip saya tidak ada, apa yang saya boleh kata pada diri saya selain 'malas'," katanya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722