Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Karpal peguam yang berani, tetapi sentiasa profesional, kata bekas peguam negara Abu Talib

$
0
0
OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA


Poster gambar-gambar mendiang Karpal Singh dengan jambakan bunga di rumah Karpal di Jalan Utama, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 19 April, 2014. Poster gambar-gambar mendiang Karpal Singh dengan jambakan bunga di rumah Karpal di Jalan Utama, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain


Karpal Singh disifatkan sebagai seorang peguam yang berani serta ahli politik yang melakukan apa yang dipercayai betul di dalam rangkaian sistem, bukannya menganggap dirinya lebih tinggi daripada undang-undang, kata bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman dalam penghormatan terakhir beliau kepada peguam veteran itu.

Abu Talib yang beberapa kali bertelagah dengan Karpal dalam menjalankan tugasnya sebagai timbalan pendakwa raya kanan atau peguam kanan persekutuan, mengatakan pemimpin veteran DAP itu menggunakan mahkamah dan perlembagaan untuk menyampaikan pendapatnya tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Beliau tidak membantah dengan cara jalanan," kata Abu Talib kepada The Malaysian Insider apabila ditanya tentang peguam yang meninggal ketika berumur 73 tahun dan bekas pengerusi nasional DAP itu yang maut dalam kemalangan lebuhraya pada awal pagi Khamis lepas.

Abu Talib yang merupakan peguam negara antara tahun 1980 dan 1993 berkata walaupun ada yang tidak bersetuju dengan pandangan MP Bukit Gelugor itu, beliau sentiasa bertindak dengan penuh keyakinan.

Karpal juga membuktikan bahawa perubahan boleh dibawa untuk manfaat rakyat dengan cara yang aman dan forum yang sesuai, tambahnya.

Abu Talib, 75, menyifatkan hubungannya dengan Karpal sebagai sesuatu yang profesional sepenuhnya.

"Kami kenal satu sama lain di dalam mahkamah walaupun berada di pihak yang bertentangan," kata Abu Talih.

"Beliau seorang peguam bela yang mempunyai asas yang kuat dalam undang-undang. Beliau sangat agresif semasa soal siasat dan seringkali meninggikan suara, tetapi itulah sifatnya," katanya.

Abu Talib berkata peguam veteran itu menyediakan dan menyampaikan kesnya dengan baik dan apabila menentang Karpal, beliau perlu bersedia dengan cara yang sama.

"Beliau seorang profesional apabila mengendalikan kes dan tidak pernah menyerah kalah," katanya, sambil menambah salah satu kehebatan Karpal adalah sifatnya yang tidak pernah menggelirukan mahkamah untuk menang.

Beliau mengingati kembali satu kes di mana beliau muncul sebagai peguam persekutuan dengan Karpal di pihak lawan dalam permohonan semakan untuk mencabar kesahihan satu  peraturan kecemasan.

"Saya berasa Karpal punyai kes yang baik, tetapi mahkamah membuat keputusan memihak kepada kerajaan dan beliau terima keputusan tersebut dengan terbuka," katanya.

Selepas persaraannya, Abu Talib dilantik sebagai pegawai pengendali di Suruhanjaya Siasatan Diraja pada tahun 1999 apabila bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipukul dalam tahanan.

Karpal mewakili Anwar dalam siasatan tersebut.

"Beliau mempercepatkan kesnya untuk Anwar sebaik mungkin," kata Abu Talib.

Itu merupakan RCI yang pertama yang cadangannya dipatuhi Putrajaya.

Tan Sri Rahim Noor, ketua polis negara pada 1998 didakwa memukul Anwar dan dijatuhkan hukuman dua bulan penjara di samping denda RM2,000.

Abu Talib juga mengingati kembali bahawa Karpal orang pertama yang menimbulkan skandal video lucah D P Vijandran di Parlimen pada tahun 1989.

Pada masa itu, Vijandran merupakan timbalan speaker Dewan Rakyat.

"Kerajaan ketika itu merujuk perkara tersebut kepada saya, dan selepas menggunakan budi bicara sebagai peguam negara, dan pendakwa raya awam, saya pertimbangkan keadaan dan mengarahkan pihak polis untuk memusnahkan bukti," kata Abu Talib.

Beliau berkata Karpal tidak berdiam diri tentangnya, dan sebagai ahli politik, Karpal melakukan apa yang dirasakannya betul.

"Tetapi itu merupakan pertembungan antara kerajaan dan pihak pembangkang," katanya, merujuk kepada tindakan Karpal yang mengemukakan satu salinan pita kepada timbalan Speaker semasa satu debat pada 1992.

Vijandran meletakkan jawatan pada Mac 1992 dan dua tahun kemudian, didakwa memalsukan bukti berkaitan pita video lucah.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan Mahkamah Rayuan pada 1999.

Karpal terbunuh dalam kemalangan di lebuh raya pada jam 1 pagi Khamis lepas apabila kereta Toyota Alphardnya melanggar sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Kampar, Perak.

Pembantu setianya, Michael Cornelius Selvam Vellu turut maut dalam kemalangan tersebut manakala pembantu rumahnya cedera teruk.

Anak Karpal, Ramkarpal dan pemandu mereka hanya cedera ringan.

Upacara pengebumian peguam tersohor itu akan berjalan di Pulau Pinang esok.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722