Oleh Shahbudin Husin |
Berita mengenai kematian Karpal Singh, seorang pemimpin veteran DAP dan juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang yang terlibat dalam kemalangan jalanraya awal pagi tadi, tentunya mengejut dan memeranjatkan banyak pihak. Malah ada yang memeriksa daripada beberapa sumber lain untuk memastikan kesahihannya, sebelum benar-benar mempercayai kematiannya.
Walaupun beliau seorang pemimpin pembangkang dan DAP, perjuangannya dalam menegakkan keadilan melalui profesyen guamannya amat mengkagumkan. Beliau boleh dikatakan peguam tersohor dan legenda dalam bidang guaman di negara ini.
Kematiannya membuatkan sesiapa juga yang mencintai keadilan dan hak seseorang berdasarkan Perlembagaan, pastinya turut bersedih. Ada yang terbuka menzahirkan kesedihan, lebih ramai lagi sebenarnya yang berbuat demikian dalam diam.
Sebagai seorang Islam, tidak salah untuk kita menzahirkan simpati atas kehilangannnya walaupun berlainan agama. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menzahirkan penghormatan atas kematian seorang Yahudi dengan berdiri sebagai tanda hormat Baginda sambil berkata, " bukankah dia juga seorang manusia."
Jika Nabi Muhammad SAW sendiri menunjukkan teladan terpuji atas kematian seorang yang bukan Islam, amatlah tidak wajar kita pula menunjukkan sikap yang sebaliknya. Hanya kerana Karpal Singh seorang pemimpin pembangkang bukan Islam dan menentang perlaksanaan hukum hudud, sebenarnya ia bukanlah halangan kepada kita sebagai umat Islam untuk turut bersedih, bersimpati dan memberi penghormatan atas kematiannya.
Hormatinya beliau sebagai manusia dan perjuangannya terhadap keadilan sepanjang hidupnya. Penentangannya terhadap hukum hudud barangkali boleh dimaafkan kerana beliau bukan beragama Islam yang memahami sepenuhnya perlaksanaan hukum tersebut.
Tetapi bagaimana dengan adanya orang Islam sendiri yang menentang hudud dengan pelbagai hujah tidak Islamik? Pemmpin UMNO sendiri, termasuk yang berpendidikan agama, ramai yang mengeluarkan pendapat memperlekeh hudud dengan antaranya termasuk Dr Mashitah Ibrahim yang bekata, jika selepas dipotong tangan kanan kerana kesalahan mencuri pertama, kemudian tangan kiri pula kerana kesalahan kedua, selepas itu apa pula yang mahu dipotong?
Bukankah ia lebih menghina berbanding Karpal yang hanya berkata, "langkah mayat saya dulu" jika mahu melaksanakan hudud?
Sebab itu kata-kata keji di laman sosial mengenai kematian Karpal Singh ini tidak boleh diterima sama-sekali. Ia bukan saja bertentangan dengan Islam, bahkan meletakkan agama Islam dipandang hina oleh agama lain. Beberapa pengendali laman sosial pro UMNO yang mengungkapkan perkataan "kojol", "mampus" dan sebagainya untuk menggambarkan kematiannya, langsung tidak beretika sebenarnya.
Begitu juga dengan tindakan Naib Presiden Presiden Perkasa, Zulkifli Nordin yang cuba mempolitikkan kematian Karpal dengan mengatakan kematiannya sengaja ditakdirkan Allah SWT untuk memudahkan perlaksnaan hukum hudud, juga tidak boleh diterima serta melambangkan sarang pemikirannya yang kotor lagi keji.
Tidakkah beliau sedar yang paling utama menentang hudud ialah Mahathir? Bekas Perdana Menteri itu bukan saja menulis surat mengenainya, bercakap dalam pelbagai nada, bahkan menggunakan Parlimen untuk menghalangnya dengan mengatakan perlaksanaan hudud tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Speaker DUN Terengganu pula baru-baru ini turut menolak usul hudud yang dibentangkan. Jadi siapa sebenarnya yang lebih menolak hudud?
Di ketika semua pihak, termasuk pemimpin BN sendiri menzahirkan simpati, tindakan Zulkifli Nordin dan beberapa pihak lain yang bersikap sebaliknya atas kematian Karpal ini tidak lebih menunjukkan bagaimana tahap pemikiran dan kerosakan hati yang mereka sedang alami.
Sebab itu tindakan Khairy Jamaluddin yang menempelak Zulkifli dengan teguran keras "Shut up. Really shut up" amat bertepatan sekali walaupun KJ jarang-jarang memakai kopiah putih di kepalanya seperti penampilan Zulkifli itu.
Kematian Karpal tidak harus dilihat dari sudut penolakannya terhadap hudud saja, tetapi harus diteropong dalam konteks yang lebih luas sehingga beliau ditahan dibawah ISA dan jika masih hidup, mungkin akan dipenjara selepas ini dibawah Akta Hasutan, walaupun perjuangannya lebih untuk keadilan, hak dan kebenaran.
Cukuplah mengeji dan memaki hamun semasa beliau masih hidup, tetapi selepas kematiannya, semuanya harus diakhiri dan menerima penentangannya terhadap hudud adalah kerana ketidakfahamannya terhadap hukum Allah itu.
Sekali lagi takziah untuk keluarga Karpal atas kematiannya.