Pulau Nangka yang menjadi popular sejak beberapa hari lalu selepas pendedahan kemungkinan wujudnya harta karun dipercayai pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka belum bercadang mempertingkatkan kawalan keselamatan di Pulau Melaka selepas pendedahan kemungkinan wujudnya harta karun atau artifak berharga zaman Kesultanan Melayu Melaka di pulau berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, akta-akta sedia ada mengenai penemuan artifak serta bahan warisan sudah memadai untuk memastikan harta di pulau itu selamat.
“Tambahan pula, keseluruhan pulau merupakan kawasan larangan, di mana orang ramai tidak dibenarkan sama sekali melawat. Hanya pekerja syarikat yang menjalankan kajian serta mereka diberi kebenaran saja boleh berbuat demikian,” katanya.
Ekoran laporan mengenai kewujudan harta berkenaan, Idris turut berharap ia tidak menjadi punca perbalahan, terutama dalam kalangan mereka yang ingin merebut harta terbabit.
“Kita sudah sering tonton di filem atau menerusi catatan sejarah bahawa kewujudan harta sebegini boleh mencetuskan perbalahan sehingga seringkali menyebabkan kehilangan nyawa.
“Saya tidak mahu perkara sebegini berlaku sekiranya memang benar ada harta di pulau itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Ayer Keroh, dekat sini, semalam.
Idris berkata, berita kewujudan harta karun di Pulau Nangka bukan saja membuka mata banyak pihak mengenai Melaka, bahkan diyakini dapat menghindari kemungkinan hanya sesetengah pihak cuba membolot harta berkenaan.
Menurutnya, beliau percaya orang ramai, khususnya penduduk tempatan kini lebih prihatin mengenai pulau berkenaan, sekali gus dapat mengelak ‘tindakan bukan-bukan’ yang mungkin cuba dilakukan sesetengah pihak.
Malah, pulau berkenaan kini menarik minat beberapa agensi berita antarabangsa, sekali gus turut meletakkan nama Melaka di persada dunia.
“Yang pastinya, Pulau Nangka kini sudah menjadi public scrutiny. Saya percaya ini dengan sendirinya akan membuatkan mana-mana pihak cuba melakukan sesuatu yang bukan-bukan, berfikir banyak kali.
“Malah, saya percaya syarikat yang jalankan kajian di situ turut berhati-hati memandangkan isu ini sudah menjadi pengetahuan umum," katanya.