MALAYSIAKINI
Minggu lalu, entah bagaimana kisah Memali dibuka semula. Seperti insiden 13 Mei, kejadian Memali yang berdarah itu tidak pernah diketahui secara jelas. Aku masih ingat bagaimana aku pada waktu itu di darjah lima.
Pada 29 tahun lalu, seusai maghrib, adalah kebiasaan untukku ke rumah mak cik Fatimah untuk mengaji al-Quran. Tetapi maghrib itu, mak cik Fatimah menyuruh kami pulang. Dia tidak memberi alasan uzur seperti selalu. Dia memberitahu kami supaya menonton televisyen. Katanya, ada orang dibunuh kerana melawan kerajaan. Mereka semua sesat dan wajar dibunuh.
Kata-kata telanjang dan demikian polos daripada seorang guru al-Quran amat menyentakku. Tentu, malam itu aku benar suka kerana tidak perlu terdera dan berdebar menahan rasa menanti giliran membaca al-Quran.
Aku akur dengan saranannya. Malah kami sekeluarga menunggu di hadapan televisyen. Aku masih ingat imej seorang nenek tua bertudung labuh memegang kapak yang dipapar RTM.
Entah mengapa, di usia muda mentah itu aku tidak terpengaruh. Malah aku merasakan imej itu keruh dan cubaan mencemar. Ibu bapaku malah mengeluh kerana paparan malam itu tidak menyeluruh. Hingga kini aku merasakan tuduhan ‘sesat dan wajar dibunuh’ yang disebut oleh guru al-Quranku itu keterlaluan dan perlu diberi pembelaan.
Tiga tahun kemudian, tatkala aku sudah semakin berahi melahap dan merakusi novel-novel Melayu dalam rak bacaan milik ibu, aku telah terpegang sebuah novel yang masih baharu. Ia menjadi sebuah novel yang amat membekas dalam ingatan dan jiwaku. Novel ini semakin dilupakan, mungkin kerana ia sukar digeluti.
Karya ini buat diriku sendiri serasa menjerankan kerana satu; ia tentang hayat tua seorang lelaki yang sudah letih menjalani hidup, kedua; ia mengenai Memali. Aku memandang Tunggul-tunggul Gerigis yang terbit tahun 1988 tersebut sebagai salah sebuah novel besar karya Shahnon Ahmad. Ramai orang menyebut Ranjau Sepanjang Jalan. Ramai juga yang menyebut Shit. Namun, aku berpendapat Shahnon sebenarnya berani kerana Tunggul-tunggul Gerigis.
Novel ini mengenai kehidupan di sebuah kampung, Poseng. Tumpuan diberi kepada watak Su Usul, dikatakan sebagai orang tertua di Poseng yang membisukan diri kerana meluat dan tidak berkuasa menegur melarang apa yang berlaku.
Su Usul dalam novel ini adalah seorang tua kesepian yang gemar bermain fikiran, memutar kenangan lampau, bercita-cita untuk pulang ke rahmatullah secepat mungkin, bermain-main dengan fikiran untuk mengorbankan Goh, kerbaunya; dan terasa Bunga, Allahyarham isterinya, memanggil-manggil pulang ke hadrat llahi.
Satu-satu cucunya yang mengambil berat dirinya, Bedul, kemudian dilanggar lori balak. Satu perlambangan kepada pembangunan yang rakus, amat rakus sehingga merebut kesayangan Su Usul. Dalam novel ini Shahnon membawa masuk dua kelompok Melayu yang bertarung dari segi ideologi politik dan kepercayaan. PBB dan PSS saling dan tidak henti bertembungan. Bahkan di akhir cerita didatangkan kuasa dalam bentuk paling hodoh, dengan segala kelengkapan tentera menyerang Masjid Poseng dan membunuh kelompok yang mempertahankan tradisi agama.
Ada banyak alasan aku menggemari novel ini. Buatku hidangan kreatif Shannon ini sebetulnya menggariskan terlalu banyak yang boleh dijadikan pengajaran khusus apabila digandingkan dengan susur galur sejarah negara ini. Proses pembangunan Poseng contohnya terlalu mendadak dan huru-hara dari sudut fizikal hingga mengakibatkan nilai masyarakat termamah serentak.
Ekologi Poseng sebagai sebuah kampung aman terpencil gesit terganggu dengan proses pembangunan. Bumi Poseng kering dek kemarau bahkan ternakan pula mati dilanggar lori-lori balak tanpa belas. Lori yang dihadirkan sebagai lambang pembangunan gelojoh itu malah meragut manusia, cucu Su Usul sendiri. Nilai-nilai masyarakat dirombak dalam keadaan menakutkan. Kumpulan yang bersaing, masing-masing sombong dengan pendirian mereka.
Shahnon memetakan bagaimana kelompok tradisi agama terburu-buru menegakkan kepongahan mereka. Golongan ‘sekularis’ pula menggunakan segala kuasa yang ada untuk memusnahkan kelompok lawan.
Bahananya adalah apabila masjid menjadi kancah pertelagahan. Su Usul, watak dalam novel ini merupakan lambang tradisi yang dipinggirkan sementara Imam Itam serta anak-anak buahnya, lambang tradisi agama yang dibunuh dengan peluru-peluru kuasa. Mesej jitu Shahnon adalah proses pembangunan itu kadang amat tajam menikam, ia mengoyak masyarakat sehingga masjid baru Poseng, meski hebat gah cantik indah tidak ada roh agamanya lagi.
Watak Su Usul selaku orang tua yang nyanyuk, membawa erti mendalam akan ketidakmampuan generasi tua dalam menilai dunia secara rasional. Hidup sekeliling menjadi lain dan berbeza serta terlalu asing baginya, dan dia cepat menyerah. Juga dari Su Usul, pembaca melihat dan mendengar segala macam perbalahan dua kelompok PBB dan PSS.
Aku tidak dapat melupakan beberapa inti kandungan Tunggul-tunggul Gerigis. PBB parti peringkat cawangan Poseng bermesyuarat membincangkan hal-hal kepentingan diri, hal-hal untuk menggunakan kuasa yang ada bagi menghancurkan lawan serta penuh dengan senda gurau yang tidak senonoh. Tidak syak lagi.
PBB adalah lambang perjalanan parti Umno di peringkat-peringkat kampung dan desa. Politik jengkel dan jelek yang membawa kepada pertumpahan darah diungkap tanpa silu.
Penjawat awam yang memihak kepada lain dari PBB akan mengalami hukuman, justeru bencana untuk ahli komuniti yang tidak bersalah menunggu ekoran dari perseteruan politik ini.
Dalam hal ini Maznah Bidan, jururawat desa di Poseng diancam supaya pilihan politiknya selari dengan yang sedia ada, iaitu status quo. Tulis Shahnon di halaman 72 dan 73:
“Maznah Bidan orang kitalah. Dia orang kerajaan. Kalau dia tak masuk belah kita, Tuk Wakil ada. Kita beritahu Tuk Wakil. Dalam tiga jam saja dia tukar bidan kita. Maznah Bidan jangan bimbang. Kita boleh sekat dia pergi kalau ada orang belah sana nak beranak. Biar tak usah Maznah tolong. Biar mereka pakai bidan tua. Biar jembalang dan langsuir mengamuk bawah gelegar mereka. Baru mereka tahu. Khabarnya Salamah pun dah empat bulan. Biar bidan tua korek perut dia. Padan muka.”
Lain dari itu perangai lucah orang-orang PBB peringkat kampung Poseng turut diturunkan oleh Shahnon. Mesyuarat cawangan PBB diserlahkan sebagai tidak ada matlamat perbincangan dan visi yang terhasil. Sering aku tersenyum membaca Tunggul-tunggul Gerigis kerana cekap dan lasaknya Shahnon memainkan jenaka politik.
Permainan politik yang tepu membawa kepada pertelingkahan dan pertembungan yang padu padat di hujung novel. Tragedi berdarah Memali diungkap dalam novel ini lewat kisah Imam Itam dan pengikut-pengikutnya yang dibunuh ketika sedang berzikir.
Pada halaman 306 dan 307, Shahnon melakar semula insiden berdarah di Baling itu secara fiktif:
"Dan di kala itulah seratus serdadu mengorak langkah menuju madrasah yang bakal menjadi sasaran. Tiba-tiba saja madrasah dikepung di empat-empat penahap. Meriam dan kereta perisai menghulurkan muncung menunggu detik untuk memuntahkan belerang. Semua siap siaga dengan bazuka, senapang, mesin-gan, bom tangan bagaikan benar-benar hendak meruntuhkan gunung- ganang; bukan menundukkan kuman-kuman yang kerdil-kerdil. Dan bila dinihari jauh merayap ke hujung dan kokok ayam mulai rancak bersahutan, madrasah dihujani peluru dan peluru."
Novel Tunggul-tunggul Gerigis mengetengahkan ranjau politik 80-an. Kisah sembahyang dua imam, perpecahan keluarga kerana ideologi, pulau-memulau, kejadian menolak sembelihan hingga ke tahap mengkafirkan diperihalkan secara terperinci.
Aku masih ingat membaca ulasan seorang sarjana sastera Melayu, Dr. Abdul Wahab Ali yang memuji kebijakan Shahnon mengolah novel ini. Kejayaan Shahnon, menurut beliau ialah apabila beliau berhasil mengecilkan Malaysia menjadi “sebuah dunia mini dalam sebuah balang kaca dan terpantul semula segala kerumitan itu”.
Dr Abdul Wahab juga menambah, kepintaran kedua Shahnon ialah meniupkan Poseng sebagai belon besar sehingga terangkat segmen masalah orang-orang Melayu negara ini. Sebetulnya tidak ramai yang tahu bahawa ibu Shahnon Ahmad bernama Kelsum Mohd Saman berasal dari Poseng, Patani yang kini dalam wilayah Thailand.
Pada tahun 1993, dalam sebuah buku yang mendokumentasikan proses kreatif pengarang Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Shahnon menjelaskan bahawa Tunggul-tunggul Gerigis dikarang untuk mengkritik kedua-dua kelompok, PBB dan PSS.
Novel tersebut, menurut beliau tidak terhad membicarakan kebobrokan ahli PBB tetapi juga mencemuh kejumudan anggota PSS.
Pada 1998, ketika aku melangkah masuk Universiti Sains Malaysia untuk menyambung pengajian sarjana di bawah seliaan Profesor Shahnon Ahmad, aku tidak teragak-agak memberitahu kekagumanku terhadap novel Tunggul-tunggul Gerigis. Cikgu Shahnon mengaku, “novel yang sangat susah untuk cikgu tulis.”
Tetapi bagaimana Shahnon boleh berani menulis tentang Memali hanya tiga tahun selepas kejadian? Dan bagaimana pula Dewan Bahasa dan Pustaka boleh tidak khuatir menerbitkan?
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam ketika kejadian Memali menuturkan sesuatu yang menggemparkan baru-baru ini.
“Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali,” katanya.
Tun Musa juga memegang jawatan selaku menteri keselamatan dalam negeri. Aku mungkin masih belum cukup dewasa ketika peristiwa berdarah di Kampung Memali, Kedah itu berlaku.
Kenangan 19 November 1985 itu demikian pahit untuk dirakam dalam sebuah novel adalah lebih pahit secara realiti. 14 orang terkorban dan berpuluh yang lain tercedera dalam Operasi Angkara itu belum pernah mendapat keadilan dan diberi peluang untuk mengungkap kisah dari pihak mereka.
Jika tidak benar 14 orang yang terbunuh tersebut adalah ekstrimis dan penganut ajaran sesat, ahli keluarga mangsa yang masih hidup perlu diberi hak, pemutihan dan dikembalikan maruah dan kehormatan mereka yang ternafi selama ini.
Alasan lupa dan tidak pasti tentu sahaja tidak dapat dijadikan lagi sandaran dalam era kaum tertindas bangkit menuntut hak-hak mereka. Nama mereka juga menjadi titik hitam dalam peta hak asasi manusia di negara ini.
Hanya yang kuku dan giginya besi dan hati serta perutnya tunggul sahaja tidak tersentuh dan tidak peduli seusai membaca novel Shahnon ini.
Pada perenggan akhir Tunggul-tunggul Gerigis, Shahnon menulis sesuatu yang amat-amat berguna sebagai mutiara pesan siasah untuk masyarakat:
“Semuanya berpunca daripada kekuasaan dan kesombongan. Kekuasaan dan kesombongan kuku besi dan gigi besi yang memegang teraju pusat negara sungguh-sungguh menggigit dan menokak. Mereka betul-betul tak ada tali perut dan tali hati kerana sengaja hendak mempamerkan kekuasaan yang ada.”
Semuda 27 tahun, dan setua 72 tahun. Angka 14 di kampung Memali amat melukakan keluarga dan sanak saudara mereka. Suka atau benci 29 tahun kemudian, Memali bangkit lagi, dan dalam 29 tahun itu aku mendapati semakin ramai orang kelilingku meyakini ayat-ayat keramat Shahnon di atas.
Pada 29 tahun lalu, dan 29 tahun kini nama-nama mangsa iaitu Ibrahim Mahmud, Ahmad Hassan, Syafie Dahaman, Abdullah Abdul Rahman, Abdul Manaf Waden, Ghazali Mohd Saman, Mohd Radzi Ahmad, Wan Abdullah @ Idris Lebai Kadir, Mohd Aroff Hashim, Zamri Md Isa, Abdullah Yasin, Mohd Daud Kadir, Ahmad Ismail, dan Abdul Rahman Jusoh kekal terawang-awang di luar sana, mereka menanti hari bangkit untuk menceritakan kembali perihal sebenar tragedi di Memali. Di hari itu, aku dan kau pun percaya; kebenaran akan mengatasi kekuasaan yang ada.