KL TODAY
KUALA LUMPUR: Iskandar Abdul Samad menyelar dakwaan Ketua Pembangkang yang juga Adun Sungai Burong, Datuk Shamsuddin Lias yang mendakwa polisi Rumah Selangorku hanya mewajibkan pemaju membina 10 peratus rumah berharga RM42,000 sahaja.
Sebaliknya, Iskandar selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar negeri, berkata kenyataan terbabit adalah tidak tepat, malah polisi terbabit melebihi 10 peratus.
Menurutnya, rumah berharga RM42,000 adalah Rumah Selangorku Jenis A sementara peratus jenis rumah yang wajib dibina oleh pemaju-pemaju adalah bergantung kepada lokasi projek.
“Bagi kawasan dengan permintaan rumah itu adalah rendah, hanya 10 peratus diwajibkan dibina. Tetapi di kawasan terdapat permintaan, pemaju wajib membina sehingga 20 peratus rumah jenis A seperti mana polisi lama.
Contohnya, kata beliau 20 peratus rumah jenis A diwajibkan dibina bagi projek antara 10 hingga 20 ekar di Zon 1 dan Zon 2 dengan permintaan bagi rumah itui adalah paling tinggi
Untuk rekod, jelasnya dalam satu kenyatan, Zon 1 adalah kawasan Lembah Kelang meliputi mukim-mukim di dalam daerah-daerah antaranya Petaling (keseluruhan Daerah Petaling), Gombak (Mukim Batu dan Hulu Kelang), Klang (Mukim Klang), Hulu Langat (Mukim Cheras, Kajang, Ampang dan Semenyih) dan Sepang (Kawasan Cyberjaya).
Manakala bagi Zon 2 pula adalah mukim-mukim di dalam daerah-daerah antaranya Gombak (Mukim Setapak dan Rawang), Hulu Langat (Mukim Hulu Langat, Beranang dan Hulu Semenyih), Klang (Mukim Kapar), Sepang (Keseluruhan Daerah Sepang kecuali Cyberjaya), Kuala Langat (Keseluruhan Daerah Kuala Langat), Kuala Selangor (Mukim Ijok, Kuala Selangor, Jeram, Batang Berjuntai (Bestari Jaya) dan Hujung Permatang).
Selain itu, katanya lagi, bagi Zon 3 pula yang merupakan kawasan luar bandar hanya 10 peratus rumah jenis A diwajibkan dibina bagi projek 50 ekar ke atas.
“Kawasan Zon 3 adalah mukim di dalam daerah antaranya Kuala Selangor (Mukim Pasangan, Tg Karang dan Hulu Tinggi), Hulu Selangor (Keseluruhan Daerah Hulu Selangor) dan Sabak Bernam (Keseluruhan Daerah Sabak Bernam),” katanya.
Beliau menjelaskan secara ringkasnya peratus rumah jenis A yang wajib dibina oleh pemaju adalah meliputi keluasan pembangunan antara lima hingga 10 ekar ialah Zon 1 sebanyak 10 peratus, zon 2 tidak wajib, zon 3 tidak wajib.
“Manakala keluasan pembangunan ialah 10 hingga 20 ekar iaitu zon 1 sebanyak 20 peratus, zon 2 sebanyak 20 peratus dan zon 3 tidak wajib.
“Bagi keluasan pembangunan 20 hingga 50 ekar, Zon 1 (20 peratus), Zon 2 (10 peratus), Zon 3 (tidak wajib).
” Keluasan pembangunan bagi 50 ekar ke atas, Zon 1 (10 peratus), Zon 2 (10 peratus) dan Zon 3 (10 peratus),” katanya yang juga Adun Chempaka.
Iskandar menambah, peratusan itu adalah berdasarkan kajian tentang permintaan di daerah-daerah untuk rumah jenis A yang sebelum ini dikenali sebagai Rumah Kos Rendah.
“Hingga ke hari ini masih terdapat Rumah Kos Rendah yang dibina di zaman pentadbiran Barisan Nasional yang masih tidak terjual kerana dibina di kawasan yang tiada permintaan,” katanya.
Beliau berkata polisi rumah untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana sebelum ini, Polisi 20:20:10, mewajibkan pemaju membina rumah-rumah untuk golongan ini tanpa mengira permintaan.
Katanya, secara keseluruhannya polisi Rumah Selangorku menetapkan 20 hingga 50 peratus rumah mampu milik (Rumah Selangorku) yang wajib dibina oleh pemaju-pemaju adalah sepertimana berikut:
ZON 1
2 hingga 5 ekar – 20 peratus
5 hingga 10 ekar – 30 peratus
10 hingga 20 ekar – 40 peratus
20 hingga 50 ekar – 50 peratus
50 ekar ke atas – 50 peratus
5 hingga 10 ekar – 30 peratus
10 hingga 20 ekar – 40 peratus
20 hingga 50 ekar – 50 peratus
50 ekar ke atas – 50 peratus
ZON 2
2 hingga 5 ekar – Tidak wajib
5 hingga 10 ekar – 20 peratus
10 hingga 20 ekar – 40 peratus
20 hingga 50 ekar – 40 peratus
50 ekar ke atas – 50 peratus
5 hingga 10 ekar – 20 peratus
10 hingga 20 ekar – 40 peratus
20 hingga 50 ekar – 40 peratus
50 ekar ke atas – 50 peratus
ZON 3
2 hingga 5 ekar – Tidak wajib
5 hingga 10 ekar – Tidak wajib
10 hingga 20 ekar – 40 peratus
20 hingga 50 ekar – 40 peratus
50 ekar ke atas – 50 peratus
5 hingga 10 ekar – Tidak wajib
10 hingga 20 ekar – 40 peratus
20 hingga 50 ekar – 40 peratus
50 ekar ke atas – 50 peratus
Terdapat 4 jenis Rumah Selangorku, jenis A, B, C dan D dari RM42,000 hingga RM250,000.