Nancy Shukri.Nancy Shukri.


KUALA LUMPUR - Sejumlah 122,169 rakyat Malaysia diisytihar muflis bagi tempoh 2007 hingga tahun lepas berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, golongan muflis itu meningkat pada setiap tahun sejak 2007 hingga tahun lepas.
  
Sejumlah 33,570 orang atau 26.54 peratus daripada golongan ini diisytihar muflis dalam tempoh berkenaan kerana masalah sewa beli kenderaan.
  
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
  
Nancy berkata beliau mensasarkan pengurangan bilangan muflis di negara ini sebagai Petunjuk Prestasi Utamanya (KPI).
  
Kerajaan melalui MDI telah mengadakan beberapa program bagi mengawal peningkatan ini dengan memberi pendedahan dan mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan kewangan.  - Bernama