Sohaimi (empat, kanan) mendengar penjelasan yang diberikan peserta taklimat mengenai situasi dihadapi mereka sehingga membawa kepada pengisytiharan muflis, semalam. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU - Individu lingkungan 35 hingga 45 tahun dikenal pasti antara paling ramai diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, walaupun kebanyakannya bukan atas kesilapan sendiri.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis, Datuk Sohaimi Shahadan selepas merasmikan Taklimat Bebas Muflis di Kompleks Kraftangan, di sini, semalam.
Sohaimi berkata, lebih 3,000 individu muflis di seluruh negara berdaftar di bawah sekretariat itu dan 38 peratus daripadanya dalam lingkungan usia tersebut.
“Hasil kajian dijalankan sekretariat ini mendapati kebanyakan diisytiharkan muflis adalah penjamin dalam pembelian kereta,” katanya.
Mengulas siri jelajah oleh sekretariat tersebut, Sohaimi berkata, Kelantan merupakan lokasi kelima dan beliau menerima input berbeza daripada setiap program yang dianjurkan di setiap negeri.
Sambil mencadangkan agar penambahbaikan dilakukan, Sohaimi berkata, sudah tiba masanya khidmat guaman percuma disediakan Jabatan Insolvensi untuk membawa keluar individu muflis kerana kos guaman yang terpaksa ditanggung sebelum ini membebankan.
Menurutnya, pangkalan data untuk individu bankrap juga perlu diwujudkan agar mereka yang membuat bayaran dengan baik dalam lima tahun tidak perlu membuat laporan khusus bagi mengesahkan kebebasan mereka, sebaliknya maklumat itu boleh diketahui secara automatik.
“Bagaimanapun, saya minta mereka yang diisytiharkan muflis supaya berani hadapi situasi sebenar dan rujuklah Jabatan Insolvensi kerana banyak kebaikan dan keistimewaan akan diperoleh, sekaligus membantu mereka meneruskan kehidupan,” katanya.