Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bimbang hak asasi manusia akan dicabul susulan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang mula dikuatkuasakan bermula 2 April 2014.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam mendakwa pindaan tersebut dibuat tanpa rundingan dengan badan hak asasi tersebut.
"Suhakam kesal dengan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, yang dirangka tanpa rundingan dengan Suruhanjaya, dan mula berkuatkuasa pada 2 April 2014," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasmy berkata, beberapa peruntukan dalam pindaan tersebut melanggar hak asasi manusia serta menafikan hak individu bagi perbicaraan yang adil.
"Suruhanjaya mengulangi kebimbangan ke atas peruntukan yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan penafian hak individu untuk perwakilan undang-undang dan kepada perbicaraan yang adil, serta hak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dalam perbicaraan terbuka mengikut undang-undang," katanya.
Beliau juga mengkritik akta tersebut yang disifatkan mundur dan tidak konsisten serta melanggar piawaian antarabangsa.
"Akta ini masih mundur dalam sifatnya dan tidak konsisten dengan prinsip hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR)," katanya.
Suhakam juga menggesa akta tersebut hanya akan digunakan sebagai pilihan terakhir dan tidak sewenang-wenangnya.
Oktober tahun lalu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang PCA 2013, yang dikritik banyak pihak sebagai usaha mengembalikan zaman tahanan tanpa bicara semasa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang dimansuhkan oleh kerajaan pada 2009.
Putrajaya memberi alasan penggubalan tersebut dibuat kerana adanya keperluan bagi mengekang aktiviti jenayah berat dan jenayah terancang yang semakin meningkat.
Pakatan Rakyat (PR) dan aktivis membantah dan mengutuk keras pindaan tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankannya atas alasan keselamatan dan ketenteraman awam.