Gerakan Turun Kos Sara Hidup 
Gerakan Turun Kos Sara Hidup


KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Muhamad Azan Safar ditahan malam, kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan jam 11.35 malam berhampiran sebuah restoran di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini.

“Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

“Penahanan itu berikutan tindakan menghasut dan melakukan perbuatan mengguling kerajaan tanpa melalui sistem demokrasi di Kelab Sultan Sulaiman, Jumaat lalu,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, lelaki berasal dari Terengganu itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis, pagi semalam, selepas selesai merakam keterangannya.

Ketika ditanya mengenai individu lain yang dipercayai turut melakukan perbuatan sama dan menyertai perhimpunan itu, Khairi tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa tangkapan lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang notis daripada penganjur perhimpunan yang dirancang dilakukan pihak tertentu minggu depan.

Katanya, siasatan boleh dilakukan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 sekiranya berhimpun tanpa mematuhi syarat dan 9(5) akta sama.