LABIS – Rakyat di negara ini digesa supaya tidak mudah terpengaruh dan percaya sepenuhnya dengan laporan media-media asing berkenaan insiden MH370.
Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, penyiaran berita yang bersifat spekulasi dan stereotaip adalah tidak bertanggungjawab.
“Saya secara peribadi kesal kerana ada agensi media terkemuka mengeluarkan tuduhan-tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab serta melabel Kerajaan Malaysia sebagai punca utama tragedi MH370 ini,” katanya.
Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis berkata, tindakan media Barat itu, dilihat tidak menghormati perasaan keluarga mangsa terutamanya mangsa yang berasal dari negara ini dan hanya akan mengelirukan rakyat.
Pada masa sama, Tee Yong kesal melihat provokasi yang dicetuskan oleh penduduk China yang bertindak memboikot semua barangan dan produk buatan Malaysia.
“Tindak balas emosi ini bukan sahaja tidak rasional tetapi akan menjejaskan hubungan dua hala di antara Malaysia dan China yang saya percaya pada akhirnya akan membawa kerugian dan kebencian di antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.