Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Baling dan Memali kembali mengaum 5 April ini

$
0
0
ANALISIS OLEH ZULKIFLI SULONG

Demonstrasi Baling 1974 yang berjaya menghimpunkan 13,000 penduduk Baling dan mahasiswa.Demonstrasi Baling 1974 yang berjaya menghimpunkan 13,000 penduduk Baling dan mahasiswa.






























Daerah Baling yang pernah menggegarkan negara pada 3 Disember 1974 selepas 13,000 penduduk yang digerakkan oleh mahasiswa berdemonstrasi membantah kemiskinan sekali lagi akan bergema selepas satu lagi perhimpunan bakal diadakan pada 5 April ini.

Demonstrasi kali ini bukan hanya kelaparan semata-mata akan tetapi kerana Tragedi Berdarah Memali 1985 yang mengorbankan 14 orang penduduk kampung dan empat orang anggota polis kembali dibincangkan selepas Tun Musa Hitam mendedahkan fakta baru.

Musa yang juga bekas timbalan perdana menteri mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan perdana menteri berada di Kuala Lumpur pada 19 Novermber 1985 ketika Ibrahim Mahmud dan 13 pengikutnya terkorban dijangka bakal menyemarakkan lagi Himpunan Baling 5 April ini.

Ia menambah kepanasan isu yang sedang diperjuangkan pihak penganjurnya iaitu  kejatuhan harga getah yang begitu teruk sehingga ke paras minima sekarang.

Penduduk Baling dan sekitarnya iaitu Sik dan Kulim menyertai demonstrasi pada 1974 ekoran kejatuhan harga getah sehingga terpaksa makan ubi gadong beracun yang menyebabkan keracunan kerana ketiadaan duit untuk membeli makanan.

Kini, suasana hampir serupa berlaku di Kedah terutama di Baling dan juga Sik serta Kulim yang bersempadan dengan Baling di samping Padang Terap. Rata-rata penduduk kawasan ini adalah petani dan penoreh getah. Kejatuhan harga getah sehingga RM2.20 sekilogram bagi getah sekerap memberi tekanan besar kepada golongan petani meneruskan hidup.

Kejatuhan harga ini menjadikan pendapatan seorang penoreh jatuh sehingga RM180 sahaja sebulan yang menyebabkan amat sukar untuk mereka hidup di tengah-tengah kenaikan harga barang dan kos sara hidup sekarang.

Baling merupakan sebuah daerah yang dikaitkan dengan pertemuan antara bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pada 1955.

Semasa era Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pelajar pada 1974, Baling bergoncang kerana demonstrasi besar-besaran itu. Pada tahun 1985, Ibrahim yang turut dikenali sebagai Ibrahim Libya bersama pengikutnya terkorban kerana tidak mahu menyerah untuk ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berlatarbelakangkan semua peristiwa inilah, Himpunan Baling diadakan pada 5 April ini. Ia akan diadakan di pekan Baling iaitu tidak sampai 10 km dari Memali.

Musa mendedahkan bahawa Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur, bukannya China sebagaimana yang diberitakan sebelum ini.

Pendedahan ini dibuat sendiri oleh Musa yang juga menteri keselamatan dalam negeri ketika peristiwa itu berlaku dalam “Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang” anjuran kerajaan negeri Kelantan yang diadakan di Kota Bharu baru-baru ini.

Turut serta bersama beliau sebagai panel adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan moderatornya Profesor Madya Datuk Dr Mohmamad Agus Yusof.

Musa ketika menjawab soalan Agus berkata, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika kejadian itu bahkan, "Dua tiga hari selepas kejadian itu pun dia berada di Kuala Lumpur."

"Sekarang semua orang tertanya-tanya, apa ada di sebalik peristiwa ini. Kenapa Mahathir dikatakan berada di China bukan di Kuala Lumpur sebelum ini dan kenapa baru sekarang Tun Musa baru mendedahkan Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika itu bahkan beberapa hari selepas itu?" soal Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS yang menjadi penganjur bersama Himpunan Baling 5 April ini.

Bagi penganjur bersama himpunan ini, Dewan pemuda PAS Pusat, ia bertujuan mengingati kembali bagaimana mahasiswa pada 1974 lalu berjaya menggerakkan 13,000 penduduk Baling untuk berhimpun bagi menuntut hak mereka.

Sementara Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang berasal dari Kedah berkata, Demonstrasi Baling, 3 Disember 1974, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, terutama dalam konteks perjuangan golongan bawahan tertindas, masyarakat petani di luar bandar, yang miskin dan hilang hak untuk sama-sama menikmati kehidupan berkualiti.

Baling juga, katanya,  simbol komitmen tinggi gerakan pelajar – menjelang pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 – menjuarai isu-isu rakyat, menyelami penderitaan dan ratap tangis kelompok terpinggir apabila inflasi melambung, harga getah menjunam dan elit penguasa bersikap tidak peduli.

Ia gabungan padu yang terjalin di antara mahasiswa, tenaga akademik dan juga penduduk kampung, bukan hanya di Baling tetapi juga kawasan sekitar, seperti Sik dan Kulim.

Malah tiga bulan sebelum itu, di Tasik Utara, Johor, mahasiswa turun membela golongan miskin yang diperintah keluar dari  rumah yang mereka dirikan di Kampung Barisan Nasional atas janji pemimpin Umno sebelum PRU 1974. Kediaman dirobohkan dan tapak ganti tidak diberikan.

Bersama penduduk yang teraniaya, mahasiswa berkampung di hadapan pejabat menteri besar, tulis Lutfi dalam tulisannya pada 13 Disember 2012 lalu.

Dalam kedua-dua episod itu, lebih seribu mahasiswa ditahan polis. Di Baling, pada 1 Disember 1974,  hampir 30,000 berdemonstrasi, manakala lebih 5,000 pelajar menunjuk perasaan di Kuala Lumpur (Saifuddin Abdullah: Kalau Saya Mahasiswa).

Masjid Negara yang menjadi tempat perlindungan demonstran dicabuli anggota FRU. Kampus UM digempur polis melalui Operasi Mayang; autonomi universiti berkecai.

5 April ini, Anwar dikatakan akan bersama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta timbalannya Mohamad Sabu akan turun ke Baling sekali lagi. Mereka dijangka akan menyertai perhimpunan penuh nostalgia ini untuk membela rakyat dan Baling dipilih sebagai tapak pembelaan mereka.

Pada asalnya, tuntutan utama perhimpunan ini adalah penetapan harga minima getah sekerap kepada RM4.00 per kg, namun dengan pendedahan Musa, cerita Memali juga bakal menggegarkan perhimpunan ini.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722