DAP hari ini mendedahkan sebuah syarikat yang tidak memiliki pengalaman dianugerahkan empat projek insinerator bernilai RM153.74 juta dikuasai oleh seorang bekas Panglima Tentera Laut dan keluarganya.
Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming (gambar), berkata empat projek tersebut adalah di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan Cameron Highlands diberikan kepada Syarikat XCN Technology Sdn Bhd (XCNT) yang dimiliki oleh Tan Sri Abdul Wahab Nawi.
"Mengapakah syarikat yang tiada pengalaman diberikan projek ini secara rundingan terus?
"Malah, syarikat XCNT ini juga tidak mempunyai rekod baik dan lewat dalam menyiapkan projek," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP, hari ini.
Laporan Audit Negara 2012 turut mendedahkan XCNT gagal menyiapkan projek di Tioman sehingga tempoh akhir 6 Mei 2013, yang sudah hampir masuk 1,000 hari lewat sejak projek tersebut diberikan pada Ogos 2007 lalu.
Daripada Laporan Audit Negara 2012, XCNT memperoleh projek di Langkawi dan Pangkor pada 2007, dua lagi projek di Tioman dan Cameron Highlands pula diperoleh selepas Syarikat Sumur Mutirara Sdn Bhd memindahkan projek tersebut kepada mereka.
"Apa yang tidak didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 ialah XCNT dikawal oleh Dawn Holdings Sdn Bhd (51%) yang dikuasai oleh Tan Sri Abdul Wahab Nawi yang juga adalah Panglima Tentera Laut dari 1986 hingga 1990.
“Malah, nama syarikatnya, XCNT juga merujuk kepada ex-Chief of Navy," katanya.
Dalam sidang media sama, Ong juga mendedahkan dua anak Abdul Wahab, iaitu Ahmad Dzuhri dan Mazeed juga adalah pengarah dalam syarikat tersebut.
Tiga lagi pengarah ialah Gideon Khoo Nee Khoon, Caleb Khoo Nee Shien dan Anthony Sammy Rathnam.
Lebih menghairankan lagi, katanya, XCNT juga dianugerahkan satu lagi projek insinerator di Labuan pada 25 Januari 2013 walaupun rekod dalam empat projek terdahulu tidak memuaskan.
"Kenapa XCNT diberikan kontrak ini walaupun beberapa kali projek tertunggak dalam empat projek yang dikendalikannya sebelum ini," katanya.
Ong juga membidas Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia yang mencadangkan untuk membuka loji insinerator bagi memproses 1,000 tan di Taman Beringin, Kepong sedangkan projek di bawah 100 tan pun tidak dapat dikendalikan dengan baik.