Malaysia Airlines (MAS)Malaysia Airlines (MAS)


SEPANG - Malaysia Airlines (MAS) telah menyediakan bantuan awal kewangan US$5,000 setiap penumpang untuk anggota keluarga penumpang  pesawat yang hilang, kata ketua pegawai eksekutif kumpulannya Ahmad Jauhari Yahya.

Beliau berkata sejak kehilangan penerbangan MH370 pada 8 Mac, fokus MAS adalah bagi menyokong dan memberi keselesaan kepada anggota keluarga terbabit dan menyokong usaha pencarian yang disertai pelbagai negara.

Ahmad Jauhari berkata MAS akan terus menyokong usaha pasukan penyiasatan di selatan Lautan Hindi yang merupakan lokasi berakhirnya penerbangan pesawat Boeing 777-200ER.

"Fokus MAS akan tetap sama seperti yang dilakukan pihak luar bagi memberikan sokongan kepada anggota keluarga terlibat melalui program yang komprehensif.

Melalui rangkaian 700 sukarelawan yang berdedikasi, anggota keluarga bagi setiap penumpang disediakan dua sukarelawan bagi setiap keluarga dengan menyediakan penjagaan, sokongan dan kaunseling.

"Kami juga membantu lebih 900 orang di bawah program ini dan sejak 72 jam lalu, kami telah melatih 40 sukarelawan bagi memastikan anggota keluarga mereka mendapat sokongan 24 jam.

"Kami menyedari bahawa sokongan kewangan bukan satu-satunya pertimbangan. Tetapi pencarian yang berpanjangan biasanya meletakkan tekanan kewangan ke atas kaum keluarga.

Oleh itu, kami bersedia menawarkan bayaran tambahan dengan usaha pencarian yang berterusan," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini hari ini.

Ahmad Jauhari berkata bantuan awal kewangan itu termasuk penginapan hotel untuk sehingga lima anggota keluarga setiap penumpang, pengangkutan, makanan dan perbelanjaan lain yang disediakan sejak 8 Mac.
    Sementara itu, Pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Yusof berkata siasatan masih dijalankan dan mungkin lebih lama dan kompleks berbanding sejak hari pertama MH370 hilang.

"Berdasarkan bukti baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, mesejnya ialah kita mesti menerima kenyataan yang menyedihkan bahawa pesawat itu kini hilang dan tiada seorang  penumpang atau anak kapal dalam pesawat itu terselamat.

"Ini adalah hari yang sedih dan tragik bagi kami semua di Malaysia Airlines. Walaupun tidak sepenuhnya dan tidak dijangka selepas carian pelbagai negara merentasi kawasan 2.24 juta batu persegi, berita ini jelas memusnahkan harapan paling kecil untuk mendapat berita positif mengenai orang kesayangan mereka," katanya.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL  (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac.   

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Usaha mencari dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke sebelah utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Operasi SAR MH370 disifatkan sebagai yang terbesar seumpamanya dalam sejarah membabitkan lebih 27 negara.

Berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini, syarikat Inmarsat United Kingdom dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) memaklumkan Najib bahawa mereka merumuskan Penerbangan MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan malam tadi: "Oleh itu dengan penuh rasa sedih dan kesal saya mesti memaklumkan kepada anda bahawa menurut data baharu ini, Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi."  - Bernama