Majlis Pendekar Malaysia (MPM) hari ini menggesa pihak yang ingin menganjur satu perhimpunan kononnya bertujuan menggulingkan kerajaan supaya tidak meneruskan hasrat itu.
Penasihat Kehormat MPM Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata perhimpunan serta kekerasan sudah tentu tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada rakyat mahupun negara, malah ia perbuatan sia-sia.
"Jika mahu berbincang atau serah memorandum kepada kerajaan, buatlah dengan cara baik dan lebih beradab. Negara ada undang-undang.
"Malah, kerajaan sentiasa amal konsep keterbukaan dalam mendengar segala permasalahan atau kehendak rakyat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Agung MPM di Kuala Lumpur.
Turut hadir Presiden MPM Tan Sri Omar Din Mauju dan Ketua Satria Muda MPM Datuk Megat Zulkarnain Omar Din.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis memandang serius poster perhimpunan yang dikesan tersebar di laman sosial dan dan akan menyiasat perkara itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, menggesa pasukan keselamatan mengambil tindakan segera terhadap pihak mereka yang ingin memporak-perandakan keamanan serta memecah-belahkan keharmonian rakyat.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau memuji usaha MPM yang ditubuhkan bertujuan menyatupadukan semua seni mempertahankan diri yang dipraktikkan pelbagai kaum di negara ini.
Pada majlis sama, enam atlet yang mengharumkan nama negara pada Sukan SEA Myanmar bagi kategori seni mempertahankan diri menerima sumbangan khas MPM.
Antara penerima adalah Nor Hamizah Abu Hasan dan Nur Syazreen A. Malik yang meraih emas dalam acara pencak silat, manakala Tai Cheau Xuen pula merangkul emas dalam acara wushu. - Bernama