Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Ku Li: PERKASA perlu pendekatan lebih terbuka

$
0
0
 

 


Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata NGO pendesak Melayu PERKASA harus berusaha untuk mengambil pendekatan lebih terbuka untuk membantu orang Melayu bersaing dengan kaum lain.

Beliau menjelaskan, usaha perlu dijalankan untuk membantu orang Melayu bagi memastikan golongan itu tidak perlu lagi bergantung kepada hak dan keistimewaan untuk bersaing.

"Saya sanjung hasrat mulia dan niat baik ini tetapi saya mohon agar pendekatan yang diambil lebih bersifat terbuka.

"Dalam kita mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan, kita harus lebih berani untuk memperkasakan agar keberadaan orang Melayu dan Islam utuh, hebat dan mantap sehingga peruntukan penjagaan dalam Perlembagaan tidak perlu kita pakai dalam kita bersaing," katanya.

Tengku Razaleigh berkata, banyak masalah orang Melayu berpunca daripada masalah dalaman dan bukannya berkaitan dengan kaum-kaum lain.

Jangan salahkan orang lain


Beliau memberi contoh kekurangan orang Melayu sebagai peneraju sektor korporat, kegagalan Melayu menerajui Felda serta menguasai industri halal, serta orang Melayu menjadi pekerja syarikat milik mereka sendiri.

"Perkembangan-perkembangan ini tidak ada kaitan dengan isu perkauman atau pun hak orang Melayu yang dinafikan, tetapi lebih merupakan masalah orang Melayu yang tidak mampu bertahan dalam saingan dan kesulitan alam perniagaan yang semakin kompleks.

"Atas dasar dan perkembangan sebeginilah, saya merasakan wajar untuk diperjuangkan agar masyarakat Melayu Malaysia lebih berdisiplin, dilatih dan diberikan ilmu pengetahuan dan pendedahan yang membolehkan kita bertahan dan bersaing dengan siapa pun dan dalam keadaan apa pun.

“Dengan berbagai-bagai peluang dan kemudahan serta bantuan, masyarakat orang Melayu dan bumiputera tidak boleh menyalahkan orang lain kalau mereka masih tidak berjaya," katanya.

Ku Li turut menyatakan beliau sedia maklum akan persepsi kurang baik terhadap PERKASA selama ini namun percaya bahawa kehadirannya ke acara berkenaan hari ini akan mengubah pandangan berkenaan.

"Janganlah kita biarkan persepsi semasa di mana pertubuhan ini dibenci, diremehkan, dimomokkan dan dianggap sebagai tidak bertanggungjawab, berlanjutan.

"Buatlah perubahan-perubahan yang perlu yang boleh dan akan memberikan kegemilangan kepada pertubuhan ini," katanya lagi.

Beliau menyampaikan ucapan sebagai jemputan khas ketika merasmikan mesyuarat agung PERKASA hari ini.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722