Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Jangan undang bala, batalkan konsert 'Life In Color'

$
0
0
SAIDAH HAIRAN 


KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat mendesak kerajaan BN khususnya Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz  membatalkan semua konsert liar melibatkan artis luar negara yang dijadual berlangsung pada 28 Mac dan 19 April ini.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar)  menegaskan Nazri mesti bertanggungjawab membatalkan konsert 'Life in Color' yang akan diadakan di Go Kart Circuit Sepang International Circuit serta konsert artis luar negara, Christina Aguilera pada 28 Mac nanti.

Menurut beliau, sepatutnya kerajaan BN khususnya pemimpin Umno mengambil iktibar daripada insiden sedih serta memalukan negara pada konsert Future Music Festival Asia di Bukit Jalil pada 13 dan 14 Mac yang meragut nyawa enam pengunjung akibat pengambilan arak dan dadah berlebihan.

Katanya,  konsert liar memang tidak mendatangkan manfaat selain mudarat kepada generasi muda yang sudah pasti akan mengikut gaya penghibur dan penonton dari luar negara.

"Jika konsert liar tersebut terus diadakan ini bermakna kerajaan BN khususnya Nazri Aziz tidak sensitif dengan perasaan ahli keluarga mangsa yang terbunuh. Beliau juga tidak peka dengan batas-batas agama Islam kerana meluluskan permit konsert liar," tegasnya.

Sehubungan itu Dewan Muslimat PAS mengingatkan kerajaan BN supaya tidak berterusan menggadaikan maruah Islam dan negara hanya semata-mata kerana mahu menarik pelancong asing datang ke Malaysia.

"Muslimat PAS mewakili seluruh kaum wanita tidak kira apa agama dan bangsa. Kami adalah para ibu yang mempunyai anak-anak, tentu berasa amat khuatir dengan penganjuran konsert liar secara berleluasa kerana ia akan memberi impak besar kepada perkembangan emosi anak-anak muda," tegasnya.

Zailah mempersoalkan apakah Perdana Menteri dan pemimpin Umno tidak serik dengan ujian yang menimpa negara sekarang seperti kemarau, cuaca panas, jerebu dan kehilangan pesawat MH370 yang masih belum selesai.

Menurut beliau, di saat rakyat berhadapan dengan ujian demi ujian Allah SWT, kerajaan BN yang diterajui Umno terus membenarkan aktiviti yang mengundang bala.

"Perlu diingat antara sebab doa ditolak adalah kerana berlakunya banyak maksiat yang menyebabkan doa tidak diterima Allah SWT, lebih-lebih lagi di saat kita memohon petunjuk bagi kehilangan MH370, " tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang mendesak Penasihat Agama Perdana Menteri serta golongan ulama dalam Umno memainkan peranan untuk menasihati pemimpin kerajaan.

Dewan Muslimat PAS Pusat turut mencabar kerajaan BN agar mempraktikkan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) dalam pemerintahan seperti yang dicanang selama ini dan tidak hanya menjadikannya sebagai slogan bermusim.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722