Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) berkata, tindakan mengharamkan penganjuran konsert tidak dilihat sebagai satu cara penyelesaian menangani masalah pengambilan dadah di kalangan belia.
Katanya kerajaan hanya boleh melakukan penguatkuasaan dan meningkatkan kefahaman mengenai bahaya penggunaan dadah kerana akhirnya belia yang memutuskan pilihan mereka.
Khairy berkata demikian mengulas insiden membabitkan enam belia maut akibat mengambil dadah berlebihan ketika menonton konsert Festival Future Music Asia (FFMA) 2014, Sabtu lepas .
Beliau berkata, biarpun kerajaan bertindak mengharamkan penganjuran konsert pada masa hadapan, namun ia tidak bermakna kejadian seperti itu tidak akan berulang.
"Sudah tentu kita berasa sedih dengan insiden tersebut biarpun penganjuran konsert bukan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi dari segi konteks remaja, sudah tentu kita bertanggungjawab juga.
"Bagaimanapun, mangsa yang maut akibat pengambilan dadah adalah pilihan mereka dan kita hanya mampu memperkasakan kefahaman mengenai bahaya dadah tetapi akhirnya mereka yang membuat pilihan," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, Khairy berkata KBS akan memperkasakan langkah dengan mengkaji semula peraturan dan syarat penganjuran konsert.
"Kita akan kaji semula penganjuran konsert yang melibatkan belia dan ini termasuk mengkaji semula garis panduan supaya perkara ini dapat dibendung," katanya.
Beliau berkata, pihaknya dan kementerian berkaitan akan meningkatkan lagi kefahaman serta kempen bahaya dadah di kalangan remaja secara berterusan.
"Perkara paling penting adalah memberi kesedaran mengenai penggunaan dadah. Ini kerana kalau kita cuba menyekat konsert, mereka akan tetap mengambil dari luar," katanya.
Ini termasuk kerjasama dengan Kementerian Dalam Negera (KDN) bagi menubuhkan satu mekanisme dalam menangani masalah itu.
"Kita akan berbincang dengan KDN untuk laksanakan satu mekanisme dan mungkin cara penyelesaian itu sepertimana dilakukan pada tahun 90-an dan 80-an," katanya.