KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR -Sekumpulan wartawan yang menamakan diri mereka ‘ Gerakan Media Marah’ atau GERAMM melancarkan kempen membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung akhbar mingguan The heat.
Kumpulan itu menyeru semua pengamal media, bahkan penulis sambilan dan penulis kolum, serta kakitangan syarikat media menyertai kempen mereka yang bermula hari ini.
“Kami juga menyeru segenap lapisan masyarakat khususnya penulis-penulis blog, aktivis-aktivis mahasiswa, pengguna media sosial dan ahli-ahli politik, termasuk pemimpin Barisan Nasional agar terus menyuarakan bantahan mereka kepada KDN agar menarik balik tindakan penggantungan tersebut,” ujar sekretariat kumpulan itu.
Dalam kenyataan medianya hari ini, kumpulan itu mendesak KDN memohon maaf terhadap pengamal media dan membatalkan tindakan terhadap The Heat.
“Kementerian didesak mengembalikan hak kebebasan media, termasuk kebebasan menerbit, kepada semua syarikat media dan wartawan,” tegasnya.
Sebagai memulakan kempen bantahan ini, GERAMM menganjurkan kempen selama sejam di lama sosial Facebook dan Twitter, mulai 9.30 malam setiap Isnin dengan memakai hashtag #theheat.
Mereka juga menyeru agar pengamal media memakai pakaian merah setiap hari Jumaat sebagai simbol solidariti.
Selain menganjurkan forum, GERAMM juga akan menjalankan kempen untuk menghantar petisyen kepada KDN selama dua minggu bagi mendesak kerajaan mengembalikan hak penerbitan kepada The Heat seperti biasa.
The Heat sebelum ini dilaporkan mendapat surat tunjuk sebab bertarikh 2 Disember, dipercayai selepas menyiarkan artikel bertajuk “All Eyes On Big Spending PM Najib” di muka depan akhbar itu.
Laporan itu berhubung perbelanjaan besar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan penggunaan jet kerajaan oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk tujuan peribadi.
Penggantungan itu menerima kecaman hebat pengamal media bebas di negara ini. Bagaimanapun, KDN menafikan penggantungan itu ada kaitan dengan artikel yang dimaksudkan.