Md Khairi SelamatMd Khairi


KUALA LUMPUR - Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata, tujuh empangan di negeri Selangor masih berada di atas paras kritikal.

Pengarahnya, Md Khairi Selamat berkata, tahap kritikal air di empangan ialah apabila jumlahnya mencecah 30 peratus bersamaan 69 juta meter padu.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan jumlah air di kesemua empangan negeri termasuk pembenihan awan untuk menghasilkan hujan yang dilakukan pada 15 dan 16 Mac lalu. 

Bagaimanapun tinjaun Luas semalam mendapati kadar hujan yang kurang gagal menyumbang peningkatan kapasiti air di enam empangan - Empangan Langat, Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Batu, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang.

"Hanya kapasiti empangan Klang Gates yang menunjukkan sedikit peningkatan iaitu daripada 51.16 peratus kepada 51.30 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain jumlah hujan yang kurang, kata Md Khairi, faktor kadar pengewapan air yang tinggi ketika cuaca panas ketika ini turut menjadi faktor kurangnya peningkatan air di empangan.

Luas juga akan meneruskan catuan air seperti yang sedang dilaksanakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan mengurangkan pelepasan air di empangan untuk keperluan bagi memanjangkan hayat simpanan air di negeri itu, katanya.

Selain daripada usaha-usaha dilakukan pihaknya, Luas juga menasihatkan orang ramai supaya menjimatkan air menerusi penggunaan berhemah. - Bernama