SELANGOR KINI
GOMBAK – Sekalipun sibuk dengan tugas sebagai wakil rakyat namun ADUN Gombak Setia,Hasbullah Ridzwan tetap meluangkan masa bersama ahli Pasukan Keselamatan dan Kejiranan (PKK) Simpang 3 di Kampung Simpang 3, Gombak, di sini.
PKK Simpang 3 yang baru sahaja ditubuhkan bulan Februari lalu bertujuan mencegah jenayah dan menangani gejala sosial. Seramai 20 orang peronda PKK telah hadir bersama-sama semasa rondaan tersebut
Sementara itu, beberapa penduduk yang mengikuti program itu melahirkan rasa gembira kerana kesudian Hasbullah untuk sama-sama turun padang meronda kampung menggunakan motosikal di kampung tersebut.
Rondaan yang bermula jam 12 malam dan berakhir 2.30 pagi itu menjadi perkara rutin ahli PKK setiap malam untuk menjaga keselamatan kampong.
Seorang penduduk, Rizal, 28, berkata walaupun YB sibuk dengan aktiviti seharian, namun masih tetap datang untuk bersama-sama penduduk menjayakan rondaan tersebut.
“Terima Kasihlah pada YB kerana sudi hadir, walaupun YB sibuk dengan tugas tetapi beliau tetap meluangkan masa bersama penduduk. Sikap cakna YB ini tentunya akan disukai penduduk kampung ini,” katanya.
Dalam rondaan tersebut, Hasbullah sempat diberi taklimat mengenai perjalanan rondaan dan beberapa kes berjaya ditangkap dan diselesaikan.
Beliau juga sempat dibawa melawat beberapa kawasan panas yang sentiasa menjadi pilihan penjenayah.
Hasbullah dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peronda yang bersengkang mata bagi menjaga keselamatan kampung dan memaklumkan bahawa indeks jenayah semakin menurun berbanding sebelum ini semenjak penubuhan Pasukan Keselamatan dan Kejiranan (PKK) di kawasan berkenaan dan berharap masyarakat terutama di kawasan Gombak Setia menyertai Pasukan Keselamatan dan Kejiranan ini.
PKK yang dicetuskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu pihak PDRM berjaya mengurangkan kadar indeks jenayah di Selangor.
Turut bersama dalam rondaan tersebut Pengurus PKM, Ramli Talib dan Ketua Kampung Simpang 3, Abdul Razak Mohd Shair